PEKAN: Pemasangan jambatan Bailey di KM73 Seksyen 102, FT12 Lebuhraya Kuantan-Segamat susulan mendapan jalan di laluan itu dijangka siap minggu depan, kata Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang Datuk Hafizah Zakaria.

Bagaimanapun, beliau berkata pembinaan kemudahan sepanjang 30 meter itu bergantung kepada faktor cuaca dan terpaksa ditangguhkan sekiranya berlaku hujan lebat dan banjir.

"Telah berlaku mendapan tanah pada Sabtu lepas dan tindakan segera yang dilaksakan ialah penutupan jalan kerana keadaan sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya.

"Justeru, tindakan sementara yang kita ambil adalah pemasangan jambatan Bailey yang telah memulakan kerja hari ini dan dijangka mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan. Namun, muatan kenderaan dihadkan kepada 20 tan sahaja," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan melawat keadaan jalan tersebut serta mendengar sembah taklimat daripada Hafizah.

Mengulas lanjut, beliau berkata punca utama mendapan itu adalah disebabkan pergerakan air bawah tanah susulan kejadian air sungai berhampiran melimpah.

Bagi tindakan jangka panjang, Hafizah berkata pihaknya mencadangkan pembinaan jambatan melibatkan kos yang dianggarkan RM17 juta dan peruntukan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya.

Katanya bagi mengatasi jalan dinaiki air akibat banjir, beliau berkata langkah yang dilaksanakan ialah dengan menaikkan aras jalan terutama membabitkan laluan utama yang digunakan penduduk.

Beliau berkata buat masa ini peruntukan menaikkan aras jalan telah diluluskan melibatkan jalan di Maran dan Jerantut.

-- BERNAMA