Kerajaan Negeri Kedah akan membaik pulih jambatan yang mendap dan hampir runtuh di Kampung Perik, Kuala Nerang dekat Padang Terap untuk manfaat dan kemudahan penduduk kampung di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Ismail Salleh berkata, selain itu pihaknya juga akan menurap jalan laluan masuk yang rosak teruk sepanjang empat kilometer di kampung itu.

Beliau berkata, jalan dan jambatan itu nanti akan memberikan manfaat kepada penduduk yang mempunyai 60 rumah di kampung berkenaan.

"Agensi bawah portfolio saya pembangunan luar bandar akan turun siasat dan akan ambil tindakan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Dr Ismail berkata bekalan air masyarakat yang akan dirawat terlebih dahulu, juga akan diperluaskan di kawasan kampung itu memandangkan setakat ini bekalan air itu terhad untuk kegunaan kira-kira 10 rumah sahaja namun penduduk di kampung berkenaan mempunyai telaga.

"Mereka juga menghadapi masalah bekalan air masyarakat yang tidak regular. Walaupun bekalan air paip SADA (Syarikat Air Darul Aman) ada, tapi kerana tekanan yang rendah, mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada air masyarakat.

"Majoriti mereka adalah penoreh getah persendirian dan selebihnya petani menanam padi. Mereka mesti dibantu bukan sahaja dari segi prasarana dan kemudahan tetapi jauh lebih penting dari itu ialah perubahan minda dan sikap," katanya.

-- BERNAMA