Penjimatan masa dan wang menjadi faktor utama jabatan kerajaan mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri pada waktu pejabat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, ia tidak bermakna tiada kakitangan yang bertugas selain melihat jamuan berkenaan sebagai cara meraikan pegawai dan kakitangan kementerian atau jabatan itu sendiri.

"Kita hendak juga merayakan kakitangan kita, lagipun ia menjimatkan masa dan wang, jadi kita buat begitu.

"Setiap organisasi akan mendapatkan seorang yang menjaga dan bertugas di kaunter secara bergilir-gilir," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Muzium Diraja, hari ini.

BACA: Apa keperluan jamuan raya pada waktu pejabat kerajaan?

TONTON:
Cerita Sebalik Berita: Corat coret Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri di Muzium diRaja

Pada Jumaat, Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta kerajaan melihat semula keperluan jabatan kerajaan mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri setiap kali tiba bulan Syawal.

Beliau berkata, program jamuan raya yang dianjurkan oleh sesebuah jabatan kerajaan biasanya melibatkan penyertaan sebahagian besar kakitangannya untuk menampakkan kemeriahan.

Mohd Asri turut berharap kerajaan melihat semula perkara itu selaras dengan keperluan semasa kerana tidak semestinya apabila umat Islam berpuasa sebulan mereka harus mengadakan majlis makan selama sebulan juga untuk menyambut hari raya.