KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di ibu negara pada Selasa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta bagi projek berhubung inisiatif Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa). 

Ahli Parlimen Gelugor itu juga didakwa meminta satu jumlah yang tidak ditentukan untuk projek jalan raya, 'Central Spine Road' bernilai RM232 juta.

Wan Saiful, 48, itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, dia dituduh meminta rasuah berbentuk suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek 'Central Spine Road' Sertik ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara Pra-Kelayakan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

BACA: Jana Wibawa: Wan Saiful didakwa di mahkamah pagi ini

Wan Saiful didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Akta 694 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful secara rasuah menerima bagi diri kamu suatu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694 pada 08 Julai 2022 hingga 30 September 2022 di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


BACA: Apa itu Jana Wibawa? 6 perkara penting untuk anda ketahui!


[TERKINI] Mahkamah | Wan Saiful minta bicara terima dan minta rasuah RM6.9 juta


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Wan Saiful diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai dan dia diarahkan melaporkan kepada ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap dua bulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000.

Kes akan disebut semula 22 Mac 2023.

Wan Saiful ditahan pada Isnin malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Turut didakwa Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Muhammad.