Ahli PKR diminta tidak menjadi 'Si Kitul' yang sengaja mahu melaga-lagakan serta mengkhianati perjuangan parti.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kerana itu Kongres Nasional PKR kali ini seharusnya menjadi 'mean' atau 'alat' untuk menamatkan hasutan individu yang menjadi 'Si Kitul'

"Jangan lagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Biar kongres ini jadi penamat cucukan 'Si Kitul'.

"Jangan ada 'Si Kitul' moden dalam Keadilan, jangan ada 'Si Kitul' moden dalam Pakatan Harapan (PH), sekarang PM Tun, lepas ini Anwar," katanya semasa penggulungan Naib Presiden PKR semasa Kongres Nasional PKR ke-13 di sini, hari ini.

Dalam sejarah, watak 'Si Kitul' merupakan individu semasa zaman Melaka yang menyebabkan berlakunya konflik dalaman. empayar Melayu itu.

'Si Kitul' pada masa itu dikatakan berperanan menyebarkan persepsi dari mulut ke mulut dan pengkhianatannya dengan membuka pintu kota Melaka kepada musuh.

Dalam pada itu kata Shamsul, maksud reformasi juga sudah berkembang dan menjadi salah satu agenda di dalam kerajaan.