Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih perlu mengambil sikap rasional dalam memilih wakil rakyat bagi memastikan masa depan yang terbaik, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.

Abu Bakar menyifatkan pemilihan wakil rakyat di Semenyih haruslah daripada parti politik selari dengan pentadbiran di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Hari ini kerajaan Selangor dan Persekutuan dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH). Sekiranya rakyat berkehendakkan manfaat yang baik untuk masa depan, adalah lebih molek wakil rakyat yang kita pilih itu nanti datang daripada PH yang mentadbir negeri dan negara ketika ini.

"Usah kita membazir undi kepada parti pembangkang (BN) atau parti lain (PSM dan Bebas) kerana mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk rakyat khususnya di kawasan DUN Semenyih ini," katanya.

Abu Bakar berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 300 hadirin berbilang kaum sempena Program Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat DUN Semenyih di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation di sini, pada Rabu.

Hadir sama dalam program itu ialah bekas Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz serta beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Kelab Kreatif Pewaris Malaysia, Persatuan Meng Lian, Kelab Khidmat Wawasan, Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan Selangor dan Kelab Prihatin Wanita dan Remaja Malaysia.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut meminta rakyat supaya tidak mudah melatah dengan taktik pembangkang yang dilihat terus memainkan sentimen kaum dan agama bagi meraih sokongan pengundi di DUN Semenyih.

"Bagi saya taktik politik pembangkang ini tidak sihat untuk negara serta kemakmuran rakyat. Negara kita ada sistem pemerintahan dan pentadbiran yang cukup tersusun daripada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Ketiga-tiga jawatan tertinggi ini disandang oleh orang Melayu dan beragama Islam yang mana masing-masing tertakluk serta perlu menghormati kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi apabila pembangkang mendakwa kononnya kepentingan orang Melayu dan Islam tergadai di bawah kerajaan PH, tindakan itu amat keterlaluan sama sekali sedangkan Perlembagaan Persekutuan telah mengikat serta menjamin perlindungan ke atas hak istimewa orang Melayu, agama Islam serta hak-hak kaum lain," ujarnya.