BINTULU:Satu garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat perlu dikuatkuasakan melibatkan aktiviti perniagaan dalam usaha melandaikan keluk COVID-19 ketika musim perayaan.

Justeru, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) tidak membenarkan premis perniagaan beroperasi menjelang persiapan perayaan Tahun Baru Cina sekiranya kakitangan mereka didapati positif COVID-19.

"Tindakan tidak membenarkan premis perniagaan ini beroperasi adalah untuk memastikan penularan itu dapat dihentikan.

"Saya melihat jika SOP ini tidak ketat (membenarkan beroperasi), ia hanya merugikan usaha keras semua pihak untuk mengekang penularan virus ini," katanya dalam kenyataan.

Menyedari aktiviti perniagaan mahu menambah pendapatan pada musim perayaan, King Sing sebaliknya optimis, faktor kesihatan perlu dititikberatkan.

Sehubungan itu katanya, setiap pemilik perniagaan dan kakitangan mereka perlu memainkan peranan dalam mengekang COVID-19 secara bersama.

"Apabila pegawai kesihatan melakukan saringan adalah penting untuk semua pihak memberikan maklumat tepat seperti jumlah kakitangan dan waktu beroperasi selain menjalani saringan serta kuarantin kendiri.

"Bagi mana-mana premis perniagaan yang didapati mempunyai kes positif (dalam kalangan kakitangan) mereka perlu menghentikan sementara perniagaan mereka dan membuka semula selepas keadaan kembali pulih," katanya.