Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jemaah haji untuk tidak berbual kosong, bersembang dan berpolitik terutama sewaktu wukuf di padang Arafah.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, waktu wukuf adalah masa untuk melakukan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah.

Jelasnya, menjadi sikap jemaah Malaysia yang sering menggunakan waktu lapang itu selain untuk beribadat.

"Gunakanlah waktu yang singkat itu untuk mendekatkan diri kepada Allah, ketika itu doa tidak ada hijab dan tidak ada lapis dengan Allah.

"Kenapa kita perlu tidur, kenapa perlu berjalan, kenapa perlu makan, kenapa perlu bersembang, hisap rokok atau berjalan cari orang lain?

"Waktu singkat itu gunakanlah untuk solat sunat yang diizinkan dan tidak ada waktu haram sunat ketika itu, tidak ada," katanya.

BACA: 95 peratus jemaah Haji sudah ke tanah suci - Jamil Khir

BACA: Program pra-pelepasan jemaah haji: Malaysia hargai pengiktirafan Arab Saudi

Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap pada program pelepasan jemaah haji ke tanah suci di Kompleks Tabung Haji (TH) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Wukuf adalah rukun haji utama yang bermaksud berhenti dan berada di di bumi Arafah sebentar atau seketika.

Dalam pada itu Ahmad Zahid menjelaskan, kepercayaan tinggi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud kepada Malaysia membolehkan pelbagai manfaat diperoleh dalam urusan dan operasi haji sejak kebelakangan ini.

"Ia termasuk kehadiran 20 pegawai Imigresen Arab Saudi ke Malaysia bagi urusan pemeriksaan masuk ke negara itu yang kini boleh dilakukan di sini," katanya.

Program pra-pelepasan jemaah haji merupakan pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi apabila dipilih menjadi negara pertama di dunia menjalankan

Program itu membolehkan jemaah haji diberi pra-pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas dan mereka tidak perlu menjalankan proses pemeriksaan pasport dan kastam di lapangan terbang di Jeddah dan Madinah.

Ia mencepatkan proses ketibaan jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah yang mengambil masa begitu singkat iaitu kira-kira 30 minit sahaja.

Pada penerbangan hari ini, seramai 483 jemaah dijadual berlepas ke Makkah selain merupakan penerbangan carter kedua terakhir dengan pesawat ke 113 iaitu yang terakhir dijadual berlepas ke tanah suci pada Isnin.

Turut sama dalam penerbangan petang ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.