Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab untuk membuat spekulasi mengenai kematian Konsul Kehormat Malaysia ke Madagascar Zahid Houseinaly Reza lewat bulan lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Azharuddin berkata perkara itu masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Allahyarham Zahid Houseinaly Reza, banyak memberi sumbangan kepada kerajaan Malaysia dalam membantu proses penyerahan serpihan MH370 yang dijumpai di Madagascar. Ingatan dan doa kami adalah bersama keluarga dan orang tersayang beliau dalam keadaan yang sukar ini." kata beliau.

Beliau membuat kenyataan itu susulan laporan oleh akhbar harian Australia, Perth Now yang memetik penyiasat persendirian Amerika Syarikat Blaine Gibson yang mendakwa Houseinaly bertanggungjawab bagi penyerahan serpihan MH370 kepada kerajaan Malaysia dibunuh pada 24 Ogos.

Beliau juga mendakwa bahawa Houseinaly sepatutnya menyerahkan serpihan baharu itu kepada kerajaan Malaysia apabila beliau dikatakan dibunuh.

Dalam satu kenyataan pada 30 Ogos, Wisma Putra juga telah memaklumkan mengenai kematian Allahyarham. Houseinaly dilantik sebagai Konsul Kehormat Malaysia ke Madagascar pada Disember 2013 untuk tempoh tiga tahun.

Kerajaan Malaysia telah memperbaharui kontraknya untuk jawatan tersebut untuk tempoh tiga tahun lagi sehingga Disember 2019.

-- BERNAMA