Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar menggesa semua pihak agar tidak mempolitikkan serta mengganggu-gugat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion.

Menurut Akhbar, langkah itu bagi memastikan semua pegawai serta anggota penyiasat SPRM kekal sebagai sebuah entiti bebas dan telus.

"Adakah kerajaan serius dalam usaha menangani gejala rasuah?" soal Akhbar.

Beliau mengulas perkembangan susulan pertukaran Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin yang sedang menjalankan siasatan ke atas syarikat SRC International serta Pengarah Bahagian Strategik Komunikasi, Datuk Rohaizad Yaacob ke Jabatan Perdana Menteri.

Akhbar berkata pertukaran pegawai SPRM tersebut telah mengganggu-gugat proses siasatan.

"Perlu ada iltizam politik yang kuat dan konsisten daripada semua pihak untuk membenarkan SPRM menyiasat; proses mengumpul bukti dan menyelesaikan kes tanpa ada rasa takut.

"Sama ada mendakwa atau tidak mengenai sesuatu kes, keputusan mutlak akhirnya terletak di tangan Peguam Negara berdasarkan prinsip pengasingan kuasa," ujar Akhbar.

Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin senada menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap pertukaran dua pegawai kanan SPRM berkenaan.

Menurut mereka, pertukaran itu disifatkan tidak wajar kerana bakal menjejaskan siasatan serta ia berlaku selepas mesyuarat Kabinet.