Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr A. Bakar Sarpon berkata komitmen menyeluruh pengurusan atasan amat penting untuk memupuk nilai integriti pegawai dan kakitangan kerajaan pada setiap masa.
“Integriti ertinya mesti bebas daripada segala penipuan, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa. Jika kesemua aspek ini bersih, maka ia menepati piawaian integriti yang kita harapkan daripada masyarakat,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurut beliau, hampir semua jabatan kerajaan kini mempunyai unit integriti yang diwakili oleh pegawai yang bertauliah dan ia wujud untuk membentuk satu sistem pentadbiran yang bersih, betul dan tepat.
“Sehubungan itu, segala ketirisan atau penyelewengan kuasa dan juga salah perbelanjaan kewangan jabatan-jabatan atau kementerian-kementerian dapat dielakkan,” katanya lagi.
Beliau mengulas permasalahan integriti yang seringkali berbangkit saban tahun apabila Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan.
Sementara itu, mengulas pelbagai kegagalan dalam urus tadbir kewangan seperti yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012, Presiden Transparensi International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata banyak aspek perlu diperbaiki.
Akhbar: Pegawai-pegawai ‘task force' dalaman ini perlu berintegriti.
“Banyak aspek perlu diperbaiki terutamanya perlu diwujudkan satu pasukan bertindak atau ‘task force’ dalaman yang boleh mengawal dasar perbelanjaan sesebuah jabatan dan kementerian. Namun, pegawai-pegawai ‘task force' dalaman ini juga perlu lebih berintegriti agar masalah-masalah ini dapat dielakkan,” kata Akhbar.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj pula menyifatkan kawal selia rapi terhadap segala perolehan aset dan perbelanjaan perlu ditangani dengan lebih berkesan agar laporan audit yang dikeluarkan tidak sekadar menjadi satu laporan kosong yang akan diulang-ulang setiap tahun.
Paul: Masalah ini tidak harus dipandang sepi kerana melibatkan wang rakyat.
“Setiap perolehan aset-aset ini perlu ada satu sistem pengawalan yang rapi agar segala masuk-keluar perbelanjaan atau aset dapat dicatat dengan teliti, dengan lengkap dan sempurna.
"Masalah-masalah ini bagi saya agak mengarut seperti kehilangan sejumlah besar aset dan juga perolehan barangan yang tidak mengikut spesifikasi. Ini tidak patut terjadi," kata Paul.
Beliau berharap satu penyelesaian dapat dicapai agar dan masalah ini tidak dipandang sepi kerana ia melibatkan wang rakyat.
Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa menunjukkan terdapat banyak ketirisan dalam urus tadbir kewangan, kementerian, badan berkanun dan juga kerajaan negeri.
Antara pendedahan-pendedahan yang dilaporkan dalam laporan tersebut adalah seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang kehilangan aset berjumlah RM1.33 juta melibatkan antaranya gari, senjata api dan kenderaan antara tahun 2010 hingga 2012.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dikesan tidak menguruskan pemberian bantuan kewangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dengan betul.
Sebanyak RM2.05 bilion pua dibelanjakan oleh Kementerian Pendidikan untuk Pengurusan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) yang meliputi penggunaan pengawal keselamatan di sekolah namun kualitinya dipersoalkan.
Kementerian Belia dan Sukan pula ditegur kerana tidak berhemah dalam berbelanja ketika penganjuran Hari Belia Negara 2012.