KUALA LUMPUR: Masa depan pendidikan Bumiputera memerlukan iltizam politik yang berani bagi memastikan setiap pelaburan rakyat membuahkan hasil yang setimpal, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, bagi memastikan keberkesanan agenda pendidikan Bumiputera, semua pihak perlu mengelakkan dari bersikap berpuas hati terhadap pencapaian angka statistik semata-mata tanpa melihat kepada kualiti kemenjadian insan.
Advertisement
“Jangan kita khianati tanggungjawab ini dengan sikap leka atau sekadar berpuas hati dengan angka-angka di atas kertas. Kita mempunyai tanggungjawab moral kepada generasi akan datang untuk meninggalkan satu sistem pendidikan yang jauh lebih baik daripada apa yang kita warisi hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang menghimpunkan lebih 5,000 tokoh akademik, profesional dan mahasiswa sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO, di sini, hari ini.
Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional berkata, pendidikan bukan sekadar instrumen mobiliti sosial, tetapi merupakan ruang muhasabah nasional bagi menilai semula kedudukan bangsa dalam landskap dunia yang berubah pantas.
Beliau berkata, jurang pendidikan harus dirawat sejak peringkat awal kanak-kanak dan bukannya hanya bermula di menara gading, memandangkan kekuatan sesebuah bangsa diukur melalui kualiti ilmu dan nilai peradaban yang dimiliki.
“Pendidikan yang sebenar bukan hanya melahirkan manusia yang pintar berfikir, tetapi manusia yang tahu makna tanggungjawab, nilai dan peradaban. Kita mahu melahirkan generasi Bumiputera yang mempunyai kekuatan ilmu, kemahiran, daya cipta, keyakinan diri serta keutuhan akhlak dan adab,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry berkata, hasil dapatan kongres itu, akan dirumuskan menjadi resolusi nasional untuk diserahkan kepada kepimpinan tertinggi kerajaan, bagi diserapkan sebagai agenda besar dalam Majlis Pendidikan Negara.
Antara fokus utama yang dibincangkan dalam kongres tersebut termasuklah pengarusperdanaan aliran tahfiz, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan awal kanak-kanak serta model wakaf pendidikan bagi menjamin kelestarian agenda pendidikan Bumiputera.
-- BERNAMA