KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini menggesa Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSSC) untuk memaklumkan serta meningkatkan penglibatan masyarakat awam dalam penghasilan Akta Antilompat Parti.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bersih berkata, proses itu perlu bagi memastikan akta berkenaan memenuhi jangkaan rakyat dan kompromi yang diperlukan akan mendapat sokongan masyarakat.

Sehubungan itu, Bersih mendesak PSSC untuk tidak mengklasifikasikan proses penghasilan rang undang-undang itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dan cuba menghalang masyarakat awam daripada mengakses maklumat berkaitan.

“Negara berdemokrasi di bawah Komanwel seperti United Kingdom, Australia, New Zealand, dan Kanada tidak menggunakan akta seperti OSA untuk mengehadkan perbincangan legislatif, jadi mengapa Malaysia harus berbuat demikian?

“Walaupun minit mesyuarat tentang mesyuarat dalaman boleh dikekalkan rahsia, tetapi PSSC perlu mendedahkan butiran seperti tarikh dan lokasi mesyuarat dibuat; keputusan penting yang dicapai; perkembangan penghasilan draf; serta kenyataan lisan dan bertulis oleh pihak berkepentingan,” kata Bersih lagi.


Bersih berkata, PSSC perlu lebih berani untuk menghentikan budaya kerahsiaan dalam proses penghasilan undang-undang di negara ini yang mengamalkan pendekatan koloni bahawa masyarakat tidak boleh dipercayai untuk mengetahui atau memberi input tentang akta tersebut.

“Langkah itu juga boleh memberi pukulan kepada kesombongan elitis yang kononnya menganggap hanya ahli politik dan birokrat tahu apa yang terbaik untuk negara dan sikap ini tidak sepatutnya mempunyai tempat dalam abad ke-21 dan bercanggah dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya lagi.

Bersih, menurut kenyataan itu lagi, mengingatkan PSSC bahawa Akta Antilompat Parti tidak boleh didraf dengan tergesa-gesa semata-mata untuk dibentangkan pada bulan Jun ini.

Katanya lagi, jangkaan rakyat terhadap proses dan kualiti legislatif telah meningkat susulan penemuan kecacatan dalam draf terkini serta langkah pemulihan yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan.

“Merujuk rang undang-undang pindaan perlembagaan kepada PSSC selepas perbahasan ketat oleh 59 Ahli Parlimen pada 11 April menunjukkan kebijaksanaan politik yang menyegarkan oleh Perdana Menteri (dan) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Menteri bertanggungjawab bagi Parlimen dan Undang-undang serta Jawatankuasa Pemandu MOU.

“BERSIH menggalakkan PSSC untuk meneruskan perjalanan berani ini supaya akta tersebut boleh diterima oleh semua pihak dan tidak membenarkan 'budaya rahsia' lama yang menghalang penggubalan undang-undang yang bertanggungjawab, telus dan melibatkan semua pihak," tegas Bersih.

Akta itu, kata Bersih lagi, mesti dijayakan dengan pelbagai penyertaan yang matang dan bukannya kegagalan yang menimbulkan permainan menyalahkan antara parti dalam pilihan raya umum atau seterusnya.