KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menzahirkan keyakinan bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN di masa akan datang.

Menurut Perdana Menteri, ketika ini enam buah negara ASEAN menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan manakala empat negara ASEAN lain menggunakan bahasa Inggeris.

Justeru, sebagai antara langkah permulaan untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu, Ismail Sabri secara peribadi telah meminta Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam bahasa tersebut, sebagai rujukan beliau sewaktu lawatan rasmi ke luar negara.

“Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Isa Ab Hamid yang ingin mengetahui usaha kerajaan dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara dan hubungan antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, usaha itu akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan atau mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 sebagai langkah memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus menjadikannya sebagai bahasa ilmu.

Jelasnya lagi, pindaan tersebut akan membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada daerah, negeri mahupun Persekutuan.

“Kita tahu undang-undang kecil di Majlis Daerah misalnya, tidak mampu untuk menguatkuasakan kesalahan penggunaan bahasa.

“Kalau kita lihat di sesetengah tempat, nama taman, dan sebagainya menunjukkan seolah-olah kita bukan dalam negara kita, tetapi di luar negara.

“Majlis Perbandaran atau Majlis Bandaraya tidak mampu kuat kuasakan supaya dipinda dan sebagainya nama-nama tersebut. Sebab itu kita bercadang untuk berikan kuasa kepada DBP dalam menguatkuasakan perkara berkaitan kesalahan dan pelanggaran dari segi nama dan sebagainya,” tegas Perdana Menteri lagi.