Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan parti itu tidak meletak calon untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut beliau, sesiapa yang mengakui dirinya mewakili Pejuang dan menyertai PRN Sabah, tidak langsung berurusan dengan kepimpinan Pejuang.

"Seperti yang telah saya umumkan sebelum ini, Urusetia Parti Penubuhan Pejuang Tanahair memaklumkan pihaknya tidak meletak calon untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN dalam PRN kali ini.

"Dengan yang demikian, sesiapa yang mengakui dirinya mewakili Pejuang, tidak berurusan dengan kepimpinan Pejuang, jauh sekali mendapat restu kami sebagai calon Pejuang pada PRN tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

LAPOR LANGSUNG: Proses penamaan calon PRN Sabah

Penamaan calon-calon PRN Sabah 2020 di sini

Mukhriz berkata, Pejuang menyokong penuh Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutu-sekutunya yang bertanding dalam PRN itu.

"Wakil-wakil Pejuang akan berkempen untuk calon-calon Warisan Plus bagi menzahir sokongan itu," ujarnya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial menerusi aplikasi Whatsapp terdapat seorang individu bertanding atas tiket bebas dengan menggunakan logo Pejuang di DUN Tandek.