Skip to main content

Malaysia

Jangan normalisasi keganasan rumah tangga, pencegahan jadi tanggungjawab bersama - Lim Hui Ying

PORT DICKSON, 18 Jun -- Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying (tengah) ketika ditemui pemberita pada Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di sebuah hotel, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Keganasan rumah tangga bukan isu peribadi yang harus ditanggung seorang diri kerana ia perbuatan serius dan tidak boleh dinormalisasikan dalam apa jua keadaan, kata Lim Hui Ying. - Gambar fail
Advertisement

GEORGE TOWN: Keganasan rumah tangga bukan isu peribadi yang harus ditanggung seorang diri kerana ia perbuatan serius dan tidak boleh dinormalisasikan dalam apa jua keadaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, keganasan rumah tangga juga boleh memberikan kesan yang mendalam bukan sahaja kepada mangsa, malah kepada anak-anak, keluarga dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

Beliau berkata, sehubungan itu, usaha untuk mencegah keganasan, melindungi mangsa serta memastikan mereka mendapat sokongan dan akses kepada bantuan yang sewajarnya perlu menjadi tanggungjawab bersama.

“Kepada mereka yang sedang berdepan dengan keganasan rumah tangga, saya ingin menegaskan bahawa anda tidak bersendirian dan anda berhak mendapatkan bantuan serta perlindungan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Lim berkata, mangsa diseru mendapatkan bantuan segera daripada individu yang dipercayai atau saluran perkhidmatan yang bersesuaian dengan Talian Kasih 15999 dan WhatsApp 019-261 5999 beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu.

Beliau berkata, KPWKM juga akan terus memperkukuh usaha pencegahan keganasan, perlindungan serta sokongan kepada mangsa dan keluarga yang terkesan, selaras dengan peruntukan undang-undang dan mekanisme perlindungan yang tersedia.

Dalam pada itu, Lim berkata, beliau berasa amat dukacita menerima berita seorang wanita warga Malaysia, Tan Kah Ming yang meninggal dunia di Perth, Australia bulan lepas kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan keganasan rumah tangga.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan yang amat tragis ini dan dalam saat yang sukar ini, perhatian dan keprihatinan pastinya tertumpu kepada anak-anak serta ahli keluarga wanita itu.

“Berhubung kes yang berlaku di Perth, saya menghormati proses siasatan dan tindakan Kerajaan Australia. Kita serahkan perkara berkaitan fakta dan perkembangan siasatan kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

“Dalam masa yang sukar dan penuh dukacita ini, marilah kita menghormati privasi keluarga mendiang Tan dan memberikan ruang yang sewajarnya kepada mereka untuk berkabung serta menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Tan, 28, yang berasal dari Pulau Pinang dilaporkan meninggal dunia selepas didakwa diserang pada penghujung bulan lepas.

Memetik laporan media, ibu kepada tiga anak itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah kediaman di Taree Street, St James, pada 8.30 malam, 26 Ogos lepas sebelum dikejarkan ke Hospital Royal Perth, namun meninggal dunia sejurus tiba.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement