awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
'Alhamdulillah', 'Insya-Allah' oleh bukan Muslim dibenar selagi dengan niat baik - IKIM
Pilihan raya Thailand jadi tumpuan, keputusan sukar diramal
Penerbangan di lapangan terbang Berlin digantung akibat ais hitam
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Jangan pandang calon bebas sebagai pemecah undi - Siti Kasim

Madiha Abdullah
Madiha Abdullah
08/02/2022
00:19 MYT
Jangan pandang calon bebas sebagai pemecah undi - Siti Kasim
Generasi ahli politik baharu yang dipilih sebagai wakil rakyat akan memberi mesej bahawa perubahan boleh berlaku kerana Parlimen adalah jantung negara yang akan mengubah cara Malaysia berfungsi. - Gambar hiasan / Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kehadiran calon bebas dalam pilihan raya tidak boleh dilihat sebagai 'pengacau' yang mahu memecahkan belahkan undi, tetapi apa yang lebih penting, ia memberi pilihan kepada rakyat dalam membuat keputusan.
Peguam hak asasi manusia dan aktivis, Siti Zabedah Kasim berkata, di sini perlunya rakyat Malaysia berfikir dan tidak hanya meletakkan nasib mereka di tangan mana-mana parti politik.
"Pendapat atau cara berfikir seperti ini, kononnya cuma nak pecahkan undi sahaja, tidak betul. Ini yang kami perjuangkan untuk Malaysia.
"Politik kita bukan sahaja berpecah-belah, tetapi jelas hari ini kebanyakannya diduduki oleh orang yang tidak mempunyai keinginan pun untuk membela nasib rakyat. Bukan semua, tetapi kebanyakannya begitu, tidak kira dalam kerajaan atau pembangkang.
"Rakyat Malaysia harus mula berfikir, dan bertindak untuk diri sendiri. Jangan terus membiarkan ahli politik atau parti politik menjadi orang tengah kita, dan kita yang menerima akibatnya," katanya ketika muncul pada sesi diskusi 'A Conversation with Gerak Independent Leaders' anjuran Critical Conversations Malaysia.
Siti sebelum ini diumumkan sebagai salah seorang daripada enam calon bebas bagi pilihan raya umum akan datang oleh Gerak Independent (GERAK).
Selain Siti, turut dinamakan ialah bekas Ahli Parlimen Umno Sungai Benut Tawfik Ismail, bekas wartawan Charles CJ Chow, penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam, aktivis KJ John dan peguam yang berpangkalan di Sabah, Roland Cheng.
Tawfik yang turut serta dalam sesi berkenaan berkata, banyak perpecahan dalam negara sedang berlaku dan perlu diperbetulkan dengan segera.
"Saya mempunyai semangat untuk negara ini, kerana ramai ahli keluarga saya telah mengorbankan nyawa mereka demi membina negara. Tetapi tempoh dua tahun yang lalu telah menunjukkan betapa gagalnya kita sebagai sebuah negara.
"Saya fikir gerakan Gerak Independent boleh menjadi medium untuk mengutip semua cebisan bangsa kita ini. Bawa mereka bersatu semula, dan mungkin jadikan ia lebih cantik daripada apa yang dibayangkan pada asalnya.
"Banyak yang perlu dilakukan. Lihat sahaja sesi debat di Parlimen, dan saya fikir apa yang dilakukan oleh ahli politik ini, yang sepatutnya memimpin negara?" tegasnya.
Tambahnya lagi, generasi ahli politik baharu di Parlimen akan memberi mesej bahawa perubahan boleh berlaku kerana Parlimen adalah jantung negara yang akan mengubah cara Malaysia berfungsi.
Topic Berkaitan
#pilihan raya
#Siti Zabedah Kasim
#Gerak Independent
#calon Bebas
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan