Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 walaupun ramai pengkritik meramalkan Barisan Nasional (BN) akan hilang kuasa pada waktu itu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, UMNO sebagai tunjang BN akan terus mendapat mandat rakyat dan Najib tidak sepatutnya dijadikan sasaran cemuhan.

"Walaupun sejak kebelakangan ini Najib dan pentadbirannya menjadi bahan cacian peminmpin pembangkang tetapi tidak bermakna UMNO akan hilang kuasa pada PRU akan datang

"Saya yakin pentadbiran Najib akan terus kekal walaupun pembangkang mengandaikan UMNO dan BN akan hilang sokongan rakyat.

"Adalah perkara biasa untuk pembangkang mendakwa Najib dan UMNO sudah tidak popular dalam kempen dan serangan politik mereka," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali menjelaskan, kritikan berterusan pembangkang dan pihak berkepentingan terhadap Najib bersabit isu 1MDB semakin pudar.

Oleh sebab itu katanya, pembangkang mensasarkan isu kenaikan kos sara hidup, harga diesel dan harga barangan keperluan sebagai kempen melemahkan pentadbiran Najib.

"Mereka juga memperhebatkan gerakan fitnah secara terancang menerusi laman-laman sosial dalam usaha melemahkan pentadbiran Najib.

"Isu-isu sedemikian tidak memberi kesan besar kepada rakyat kerana mereka memahami situasi dan kesan ekonomi global.

"Rakyat sebenarnya masih yakin dengan kesungguhan dan kemampuan kerajaan mengurus isu-isu dalaman negara," jelasnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menambah, kesungguhan pentadbiran Najib meningkatkan taraf hidup rakyat membuktikan UMNO masih relevan.

"UMNO dan BN tidak pernah membelakangkan kepentingan rakyat wlaupun berdepan dengan kritikan dan kecaman musuh politiknya.

"Walaupun UMNO digambarkan sebagai lemah oleh pembangkang tetapi parti itu tetap mendapat tempat di hati orang Melayu.

"Orang Melayu sebahagian besarnya masih menyayangi UMNO kerana mereka sedar tidak ada parti lain yang lebih bertanggungjawab dan konsisten," tegasnya.

Katanya, parti serpihan yang mewakili minoriti orang Melayu seperti PKR, Amanah dan PPBM sudah jelas gagal membawa manfaat kepada orang Melayu.

"Parti serpihan itu hanya memperjuangkan agenda politik pemimpin tertentu, kumpulan yang terlalu kecewa dengan pentadbiran Najib.

"Saya meramalkan parti serpihan seperti Amanah dan PPBM kesudahannya akan 'hanyut' begitu sahaja," katanya.

Mengulas kenyataan tegas Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang dilihat 'berpatah arang' dengan DAP, beliau berkata PAS telah melakukan sesuatu yang baik untuk kepentingan politik mereka.

"Kita tidak boleh untuk membuat andaian jauh lebih daripada itu, PAS mempunyai pendirian dan prinsipnya tersendiri.

"Memutuskan hubungan politik dengan DAP merupakan perkembangan baik untuk masa depan orang Melayu dan umat Islam.

"DAP sudah jelas menentang sebarang usaha mendaulatkan syariat Islam di negara ini, jadi tidak ada maknanya untuk PAS terus bersekongkol dengan mereka," katanya.

Mengenai kemungkinan berlaku kerjasama PAS dan UMNO pada PRU ke-14 akan datang, Syed Ali berkata apa juga boleh berlaku dalam politik.

"Dulu saya pernah kata kerjasama dua parti itu akan menguatkan lagi jemaah umat Islam di Malaysia, tetapi terpulang kepada pucuk pimpinan masing-masing," ujarnya.