Ahli-ahli PKR yang akan mula menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin parti bagi penggal 2014 hingga 2017 pada 25 April diingatkan supaya tidak membuat pilihan kerana habuan pangkat dan harta.

Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap ahli perlu menilai pemimpin berdasarkan prestasi yang ditunjukkan ketika memegang sesuatu jawatan parti sebelum ini.

Selain itu, ahli-ahli PKR juga diingatkan supaya menilai pemimpin yang bakal dipilih berdasarkan kesetiaannya kepada parti.

"Harapan saya, ketika membuat pilihan, ahli-ahli menilai dengan sebaiknya kemampuan seseorang pemimpin yang akan mereka putuskan untuk menggalas tanggungjawab bagi penggal akan datang.

"Pilihlah pemimpin kerana kemampuannya dalam menunaikan tugas yang diamanahkan dan membuat penilaian berdasarkan track recordnya sebelum ini.

"Saya juga berharap agar ahli-ahli PKR yang akan membuat pilihan nanti tidak memilih pemimpin kerana habuan harta dan kedudukan," katanya dalam satu temubual khas bersama Astro AWANI di ibu pejabat PKR pada Rabu.

Saifuddin juga berharap jumlah ahli yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka ketika pemilihan kali ini lebih tinggi berbanding ketika 2010.

Mengulas lanjut keputusan bertanding kerusi nombor dua PKR, Saifuddin berkata beliau membuat keputusan tersebut kerana sudah bersedia menggalas tugas yang lebih besar.



Selain itu, beliau juga berpendapat, sebelum pemimpin-pemimpin pelapis mengambil alih tanggungjawab menerajui PKR, perlu ada seorang pemimpin senior yang berkebolehan untuk mencorakkan parti.

"Saya melihat Rafizi dan Nurul Izzah sebagai antara pemimpin pelapis yang akan mengambil alih kepimpinan parti suatu hari nanti.

"Tetapi sebelum tiba masa mereka, perlu ada seorang pemimpin senior yang memikul tanggungjawab tersebut dan berdasarkan pengalaman yang ada pada saya, maka saya tawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden.

"Setiap calon, baik Azmin atau Tan Sri Khalid atau juga saya sendiri mempunyai kebolehan dan keupayaan sendiri yang boleh ditawarkan kepada parti," katanya.

Beliau juga yakin pengalaman bersama PKR sejak parti itu ditubuhkan pada 4 April 1999 atas nama Parti Keadilan Nasional merupakan antara aset penting yang perlu dilihat oelh ahli-ahli parti.