Memang tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang untuk ahli politik mengeluarkan surat sokongan tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai suatu bentuk arahan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata mengeluarkan surat sokongan adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab ahli politik untuk menolong orang ramai, bagaimanapun penjawat awam harus memastikan sesuatu keputusan tidak dibuat hanya berdasarkan kepada surat sokongan berkenaan.

Surat sokongan tidak boleh menjadi penyebab keputusan hendak dibuat ataupun asas keputusan dibuat, katanya.

"Mereka harus dan mesti mengikut peraturan kewangan yang ada dan berasaskan pada peraturan itu, barulah sekiranya keadaannya semua sama dan sekiranya tidak ada perbezaan antara beberapa penenda, mungkin mereka boleh mengambil surat sokongan itu sebagai pertimbangan," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah pada Seminar Anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Negeri Sembilan bersama SPRM di sini hari ini.

"Ini kerana mereka (penjawat awam) nanti terpaksa menjawab sekiranya siasatan dibuat dan kami akan berteraskan kepada peraturan kewangan," katanya.

Mengenai laporan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini bahawa ujian integriti atau psikometrik akan dilakukan ke atas setiap anggota polis atau rekrut baharu yang akan mengisi jawatan dalam pasukan itu, Abu Kassim berkata pihaknya menyokong penuh apa juga usaha untuk meningkatkan integriti sesebuah organisasi itu.

"Bagi kami, terutama soal pengambilan pegawai baharu, ia kalau salah di peringkat pengambilan maka kesannya jauh dan lama kerana kalau kita silap mengambil orang yang tidak berintergriti, proses untuk 'membuangnya' bukan senang.

"...dan mungkin dia tidak dapat dikesan, perbuatannya dan sebagainya dan merosakkan reputasi organisasi itu. Jadi, cukup wajar sekiranya proses pengambilan dibuat secara teliti dan pastikan elemen integriti dijadikan elemen utama sebelum seseorang itu dilantik memegang jawatan dalam organisasi," katanya.

Mengenai seminar itu, Abu Kassim berkata beliau menyampaikan ceramah kepada anggota politik di negeri ini mengenai perkara yang mereka harus faham mengenai kebebasan SPRM.

"Ini kerana saya dapati banyak ahli politik yang mungkin tidak mendapat maklumat yang sejelasnya mengenai struktur baharu SPRM termasuk kebebasan SPRM yang ada. Seperti yang diketahui, SPRM ialah sebuah badan bebas dari segi operasinya sejak 2009.

"Pada masa yang sama, kami maklumkan bahawa kami juga sedang meminta ahli politik bersatu hati menyokong pindaan perlembagaan mengenai pengwujudan suruhan jaya perkhidmatan SPRM, sekiranya pihak kerajaan membawa perkara tersebut ke Parlimen.

"Itu sebabnya kami minta mereka memahami bahawa tujuan pindaan tersebut adalah untuk memperkasa SPRM dan juga untuk memenuhi perkara yang terdapat dalam 'United Nation Convention Against Corruption' iaitu piagam atau konvensyen yang ditandatangani kerajaan Malaysia pada 2004 dan diratifikasikan pada 2008," kata Abu Kassim.

Beliau berkata sebagai negara yang telah membuat ratifikasi, semua pihak harus memastikan perkara dalam konvensyen itu diikuti.

"Ini sebabnya saya menerangkan dalam semakan kita terhadap konvensyen tersebut ada dua perkara besar yang harus dibuat dan perkara ini memerlukan pindaan Perlembagaan," katanya.