Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya tidak menyebarkan virus pepecahan dengan bermain politik.

Titah baginda, penyakit atau virus perpecahan yang dilihat semakin menular dalam kalangan ahli politik itu harus dibendung bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat serta negeri Johor khususnya.

"Sekarang bukanlah masanya untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi, kerana tindakan sebegini akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu 'virus perpecahan'," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke 14 di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar hari ini.

Nasihat baginda di tengah-tengah spekulasi kemungkinan tercetus perbalahan antara parti pemerintah negeri yang baharu, Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, timbul desas-desus PN akan menukar speaker DUN, Suhaizan Kaiat, sementara PH pula dikatakan akan melancarkan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.


Tambah Baginda, virus perpecahan itu telah menular dalam kalangan pemimpin politik apabila berlakunya pergolakan dan perebutan kuasa sehingga mengugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.

"Mereka yang dijangkati virus ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat, asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri sendiri.

"Virus ini mudah merebak melalui saluran media sosial yang bebas, dengan dibantu oleh ejen media dan ‘cyber-troopers’ yang menjadi batu api membangkitkan isu sensasi, untuk menambah api kebencian di kalangan pemimpin politik dengan rakyat," titah Baginda lagi.

Baginda berharap virus perpecahan ini dapat dibendung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan hidup rakyat yang telah bina sekian lama.