Skip to main content
Advertisement

Malaysia

'Jangan sekadar ucapan takziah' - Muhyiddin gesa audit keselamatan, mekanisme buli di sekolah diperketat

Muhyiddin menggesa KPM melaksanakan audit menyeluruh terhadap sistem keselamatan dan mekanisme antibuli susulan kematian Irene Sofiya di Yong Peng. - Gambar fail/Facebook Muhyiddin Yassin
Muhyiddin menggesa KPM melaksanakan audit menyeluruh terhadap sistem keselamatan dan mekanisme antibuli susulan kematian Irene Sofiya di Yong Peng. - Gambar fail/Facebook Muhyiddin Yassin

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemergian tragis pelajar Tingkatan Empat di Yong Peng, Johor, tidak wajar berakhir dengan sekadar ucapan takziah semata-mata tanpa langkah pembetulan drastik dilaksanakan.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak harus menunggu sehingga proses siasatan polis selesai untuk mengambil tindakan pencegahan terhadap sebarang kelemahan keselamatan di institusi pendidikan.

Tegasnya lagi, KPM perlu melaksanakan audit menyeluruh terhadap keseluruhan sistem keselamatan dan mekanisme pencegahan buli di sekolah, termasuk keberkesanan saluran aduan dan tindakan susulan terhadap setiap laporan.

"Sebarang kelemahan dalam aspek keselamatan, pemantauan, disiplin serta pengurusan buli dan keganasan di sekolah mesti dikenal pasti dan diperbaiki segera.

"Sebarang tanda buli, ugutan, gangguan atau ancaman terhadap keselamatan pelajar mesti dipandang serius dan ditangani sebelum keadaan menjadi lebih buruk," katanya menerusi satu kenyataan di laman media sosial beliau pada Isnin.

Muhyiddin, yang juga bekas Menteri Pelajaran, turut menuntut pihak berkuasa menyempurnakan siasatan secara telus, segera dan menyeluruh bagi merungkai punca sebenar kejadian tersebut.

"Sekiranya terdapat unsur jenayah atau kecuaian, tindakan sewajarnya mesti diambil mengikut undang-undang tanpa mengira siapa yang terlibat," tegas beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin menzahirkan rasa amat dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal atas kehilangan insan tersayang pada usia yang begitu muda.

"Pemergian Irene Sofiya tidak boleh berakhir dengan ucapan takziah semata-mata. Kita mesti memastikan tragedi seperti ini tidak berulang dan setiap anak yang melangkah ke sekolah dapat belajar dalam suasana yang selamat serta pulang ke pangkuan keluarga mereka dengan selamat," jelasnya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mencetuskan spekulasi atau menularkan maklumat yang belum disahkan bagi menghormati emosi keluarga mangsa serta kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.

Must Watch Video

Advertisement