KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menasihatkan pemimpin negara supaya tidak berada pada tahap selesa ketika mentadbir negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini pernah berlaku apabila pemimpin mendakwa sistem pendidikan adalah ‘nombor satu’ dan sistem kesihatan terbaik sedangkan tandas sekolah pun tidak dapat dibaiki.

Tegas Perdana Menteri, beliau tidak mahu pemimpin termakan dengan penyakit keselesaan.

“Kita buat sedaya upaya tapi jangan kita anggap terlalu baik. Ada lagi keupayaan untuk kita bersihkan, tingkatkan mutu kerajaan, etika kerajaan.

“Ini kerana akhirnya bukan angka, seperti yang kita sebut sebelum ini… contohnya angka pertumbuhan, inflasi rendah, tiada siapa boleh pertikai.

“Walaupun kita disanggah sebagai gagal, tapi ternyata inflasi kita lebih baik, kadar pengangguran semua lebih baik tapi ukuran sebenarnya di peringkat akar umbi.

“Rakyat masih belum dapat keselesaan yang sepatutnya,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan kini sedang berusaha untuk menyediakan inisiatif mengurangkan beban rakyat termasuk melalui subsidi bersasar dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Bagi saya, jaminan, keselesaan bukan kepada menteri dan pemimpin tapi keselesaan keapda rakyat, golongan pekerja, petani, nelayan, pekebun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI, RTM dan TV3 pada Selasa.