Beliau berkata, banyak sentimen yang membingungkan rakyat, selain dari kos sara hidup, mata wang ringgit jatuh dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Katanya, isu semasa seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta derma politik juga dilihat sebagai sentimen yang terus menekan rakyat untuk mengetahui hal sebenar.
"Apabila masalah 1MDB timbul ia menjadi lebih menekan kerana sukar difahami. Kalau pembangkang maki hamun kerajaan, tidak pula disuruh berhati-hati. Apabila Muhyiddin cakap (mengenai 1MDB) saya diminta berhati-hati.
"Saya tidak takut berucap dan bercakap untuk menyelesaikan yang hak kerana ia bukan pembohongan. Ia adalah perkara yang sudah lama saya bicara, bincang dan kupas dalam jemaah menteri, Kabinet dan parti. Ia demi kepentingan bangsa, agama dan negara," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pontian, Johor.
Muhyiddin akan terus persoalkan isu 1MDB
Muhyiddin menegaskan sekali lagi beliau akan tetap berucap dan bercakap mengenai isu 1MDB sehingga ianya diselesaikan dan penjelasan diberikan.
"Siasat serta tengok laporan kalau ada prima facie (bukti yang munasabah) ambil tindakan dan sekiranya tidak ada, tutup (kes). Rakyat sedang menunggu dan Perdana Menteri minta tunggu siasatan.
"Nak tunggu? Tunggu berapa lama lagi? Nak kena tunggu sampai bulan jatuh ke riba? Apabila sudah melewati kemunasabahan maka keyakinan akan runtuh dan rakyat tidak akan percaya. Ini yang saya takut," tambahnya.