SAYA telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menjalankan siasatan berikutan aduan air mentah yang disalurkan ke Selangor dari muka sauk di Sungai Semantan, Pahang yang dilaporkan baru-baru ini.

Saya telah diberikan laporan awal oleh JAS mengenai isu tersebut.

Pada 7 Oktober 2016 pada jam 9:30 malam, JAS Cawangan Temerloh telah menerima maklumat daripada Bahagian Kawal Selia Air Pahang berhubung masalah air yang berbau di Loji Sungai Langat, Selangor pada 7 Oktober 2016.

Maklumat susulan yang diterima dari pihak Bahagian Kawal Selia Air Pahang pada jam 11:00 malam memaklumkan keadaan kualiti air di Sungai Semantan adalah baik dan tidak berbau.

Namun demikian, JAS telah dimaklumkan sekali lagi pada 8 Oktober bahawa air berbau telah dikesan di muka sauk Sungai Semantan.

Siasatan komprehensif telah dijalankan oleh oleh JAS pada 8 Oktober 2016 dan didapati keadaan air telah kembali normal serta tiada lagi kesan bau pada badan air Sungai Semantan. Pemerhatian mendapati keadaan air secara fizikalnya adalah jernih dan tidak berbau.

Untuk makluman, terdapat satu loji rawatan air di hilir kawasan intake air Sungai Semantan iaitu Loji Rawatan Air Mempateh (LRA Mempateh), Lanchang.

Maklumat dari pihak LRA Mempate h memaklumkan bahawa pihak loji meneruskan operasi seperti biasa dan tidak berhadapan dengan masalah bau.

Pemeriksaan juga dijalankan di sepanjang Sungai Semantan dan pemerhatian mendapati keadaan air adalah jernih dan tidak berbau.

JAS telah menjalankan siasatan ke atas sebuah premis di kawasan Perindustrian Bentong.

Pemeriksaan mendapati pihak kilang patuh kepada peraturan-peraturan di bawah JAS.

Tiada pelepasan effluen dari premis dan premis ini adalah merupakan premis yeng mengamalkan ”zero
discharge”.

Siasatan turut diteruskan terhadap premis lain dan didapati pemeriksaan mendapati pihak kilang sedang menjalankan kerja-kerja penyelengaraan ke atas loji rawatan effluen untuk meningkatkan keupayaan rawatan effluen.

Sepanjang pemeriksaan ke atas sistem pengolahan effluen, didapati effluen yang dilepaskan ke alur air adalah jernih dan tidak berbau.

Pegawai Jabatan telah meneruskan siasatan ke atas premis berkaitan getah dan mendapati tiada masalah bau dikesan di loji rawatan effluen premis berkenaan.

Pemeriksaan ke atas premis-premis di kawasan Bentong juga tidak menemui mana mana pelepasan effluen yang berbau terutamanya bau ”solvent” iaitu penyebab yang disyaki mendatangkan masalah bau pada air Sungai Semantan.

JAS akan meneruskan pemantauan rapi ke atas punca -punca lain bagi mengesan sebarang ketidakakuran yang terjadi dan akan mendapatkan laporan penuh aktiviti penyelenggaraan sistem pengolahan effluen dari premis premis berkaitan.

Saya dan JAS memandang serius isu pencemaran sungai dan JAS dan sekiranya berlaku pelanggaran undang- undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 maka pihak JAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas berhubung insiden tersebut.

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Menteri Sumber Asli dan Sekitar