BUTTERWORTH: Sebuah kontena yang membawa masuk bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dari Amerika Syarikat (AS) yang ingin dilupuskan secara haram di negara ini diarah pulang ke negara asal.

Arahan tersebut dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas mendapati 'e-waste' berkenaan dibawa masuk tanpa mendapat kelulusan terlebih dahulu.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Khamis dijalankan bersama Unit Collaborated Border Management (CBM) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pihak SIRIM QAS International Berhad Pulau Pinang dan Pegawai Pelabuhan NBCT.

Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati pihak pengimport membuat pengisytiharan (manifest) palsu di mana sisa ‘e -waste’ diikrar sebagai 'aluminium aloy'.

"Selepas pemeriksaan dibuat, pihaknya mendapati kontena 40 kaki itu membawa muatan buangan sekerap daripada papan litar bercetak (PCB), pemacu cakera dalaman (internal hard disk drive) CPU dan lain-lain komponen elektronik yang dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini



Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah berkata, pengimportan haram buangan elektrik dan elektronik atau e-waste dari luar negara adalah menyalahi undang-undang dan konvensyen antarabangsa (Konvensyen Basel).

"Sehubungan itu, JAS mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kepada pihak pengimport untuk pemulangan kontena terbabit ke negara asal. Kegagalan pihak pengimport untuk mematuhi arahan boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan mahkamah ," jelas beliau.

Sekiranya gagal berbuat demikian, pengimport boleh dikenakan tindakan mahkamah mengikut Seksyen 34B iaitu di denda RM 500,000 dan mandatori penjara maksimum lima tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelupusan serta pemprosesan secara haram boleh memberikan implikasi negatif kepada alam sekitar dan kesihatan terutama apabila majoritinya mungkin dihantar ke premis-premis tidak berlesen untuk dibuat pemprosesan secara haram atau lebih buruk jika dilupus secara dibakar atau ditanam.

"Pemprosesan secara haram tanpa alat kawalan boleh menyebabkan pelepasan bahan kimia merbahaya termasuk logam-logam berat yang mencemar tanah, air dan udara.

“Sisa elektrik dan elektronik yang dihasilkan di Malaysia perlu dihantar dan diproses hanya di premis-premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar sahaja," tegas Sharifah Zakiah.