JAS siasat laporan air Sungai Perak bertukar biru

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengambil beberapa sampel air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, Gerik, susulan laporan air sungai berkenaan bertukar warna kebiruan disyaki akibat pencemaran. - Foto media sosial/Sinar Harian
IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mengambil beberapa sampel air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, Gerik, susulan laporan air sungai berkenaan bertukar warna kebiruan disyaki akibat pencemaran.
Pengarah JAS Perak Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata pihaknya sedang menyiasat insiden berkenaan dan sampel diambil untuk dianalisis kandungan bahan kimianya.
"Kita syak ia melibatkan pencemaran daripada aktiviti perlombongan mineral namun siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar, yang hanya akan ditentukan apabila keputusan analisis diperoleh," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata anggota JAS juga diarah menjalankan siasatan di beberapa kawasan perlombongan berhampiran yang terletak kira-kira 19 hingga 40 kilometer dari lokasi kejadian.Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa keadaan air Sungai Perak masih selamat dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk setempat.
"Sungai Perak ini panjang dan luas, jadi proses pencairan berlaku dengan baik malah stesen pemantauan automatik JAS di Sungai Perak tidak mengesan sebarang amaran pencemaran setakat ini.
"Pemantauan oleh JAS pada 9 Okt lepas juga menunjukkan kualiti air Sungai Perak berada pada tahap baik dan merupakan satu daripada sumber utama air minuman di negeri ini," katanya.
Mohammad Ezanni turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang perubahan luar biasa pada warna air sungai atau berlaku kematian ikan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Galian (JMG) Perak Nizarulikram Abdul Rahim berkata pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan mendapati air sungai berkenaan telah kembali kepada warna asal ketika tinjauan dijalankan semalam.
Pada 21 Okt lepas, tular di Facebook hantaran memaparkan gambar air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan iaitu kira-kira lima kilometer ke arah utara Kampung Air Ganda, Gerik bertukar menjadi biru.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami