SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) meneruskan siasatan termasuk melakukan pemeriksaan di beberapa kilang bagi mengenal pasti punca kejadian kematian ratusan ikan di Sungai Damansara yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Pengarah JAS Negeri Selangor Nor Aziah Jaafar berkata, jabatan itu telah menelusuri bahagian hulu dan hilir sungai berkenaan dan memfokuskan kepada punca pencemaran yang berpotensi dalam lingkungan 10 km dari lokasi ikan ditemukan mati.

"Ini melibatkan pemeriksaan di beberapa kilang berasaskan minuman dan makanan, pusat komersial, pelepasan 'storm water' dari kawasan perumahan dan dua loji rawatan kumbahan awam," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan semalam mendapati ikan-ikan yang mati terdiri daripada spesies ikan bandar raya (Hypostomus plecostomus) dan tilapia hitam (Oreochromis mossambicus) yang terdampar di sepanjang 5 km sungai tersebut.



Nor Aziah berkata ujian 'in-situ' di Sungai Kayu Ara berhampiran struktur perangkap sampah (logboom) yang dijalankan mendapati terdapat air sungai yang sedikit berbuih dan bacaan Oksigen Terlarut (DO) adalah 4.5 miligram per liter.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut dipohon untuk tampil bagi membantu siasatan dan menegaskan bahawa JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar.

Sebarang aduan pencemaran boleh terus dilaporkan ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

-- BERNAMA