Skip to main content

Malaysia

JAS tingkat pemantauan, pastikan tiada aktiviti berpotensi burukkan situasi jerebu

Sumber: BERNAMA
JAS bersama-sama agensi yang diberikan kuasa sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan terutama berkaitan pembakaran terbuka termasuk di kediaman, ladang, dan aktiviti industri. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus meningkatkan pemantauan bagi memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti yang berpotensi memburukkan situasi jerebu dalam negara.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAS Rosli Zul berkata pegawai di jabatan itu bersama-sama agensi yang diberikan kuasa sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan terutama berkaitan pembakaran terbuka termasuk di kediaman, ladang, aktiviti industri seperti pembakaran arang bagi menjana tenaga serta letupan di kuari.

Beliau berkata JAS juga telah mengeluarkan surat kepada pemilik tanah dan ladang untuk memastikan mereka turut bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan tiada kegiatan yang menyumbang kepada peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

“Kita juga sentiasa memantau titik-titik panas yang dikesan menerusi imej satelit dan akan terus mengesahkan sama ada terdapat kebakaran di kawasan berkaitan untuk terus dilapor kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi tujuan pemadaman segera,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Jerebu: Apabila Udara Menjadi Ancaman di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Rosli berkata pergerakan kenderaan bermotor juga secara amnya turut memberi sumbangan kepada kemerosotan kualiti udara.

Beliau berkata punca sebenar jerebu ialah daripada pembakaran hutan dari negara jiran, yang diburukkan dengan cuaca panas berserta pergerakan arah angin Monsun Barat Daya.

“Itu membawa ke Malaysia tetapi kita juga perlu memainkan peranan agar keadaan tidak semakin buruk.

“Antara langkah kecil boleh dilakukan ialah manfaatkan sepenuhnya pengangkutan awam bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya.

Beliau berkata JAS akan terus menyalurkan maklumat berkaitan kualiti udara menerusi 68 stesen pencerapan di seluruh negara, dan berharap ia dijadikan panduan oleh orang awam untuk merancang aktiviti harian mereka terutamanya melibatkan golongan berisiko seperti warga emas serta kanak-kanak.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), dua kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap berbahaya setakat petang Rabu, dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Serian mencatat bacaan tertinggi, iaitu 325.

Satu lagi kawasan yang merekodkan bacaan IPU tahap berbahaya ialah Kuching (309) manakala lima kawasan di Sarawak mencatat bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Samarahan (287), Sarikei (256), Sibu (248), Sri Aman (247) dan Mukah (205).

Sebanyak 16 stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dengan Bintulu mencatat bacaan tertinggi, iaitu 192 diikuti Kapit (190), Politeknik Kota Kinabalu (178), Keningau (175) dan Kota Kinabalu (173).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Labuan (173), Samalaju (172), Kimanis (171), ILP Miri (170), Limbang (169), Miri (166), Johan Setia (159), Putrajaya (151), Nilai (151), Sandakan (136) dan Seremban (109).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement