Skip to main content

Malaysia

Jauh dari keluarga, antara alasan pegawai perubatan tolak lapor diri di Sabah, Sarawak

Dr Dzulkefly berkata antara alasan pegawai perubatan menolak melapor diri di Sabah dan Sarawak adalah kerana mereka lebih berminat untuk bertugas di fasiliti kesihatan di kawasan bandar.
Dr Dzulkefly berkata antara alasan pegawai perubatan menolak melapor diri di Sabah dan Sarawak adalah kerana mereka lebih berminat untuk bertugas di fasiliti kesihatan di kawasan bandar.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Faktor berjauhan daripada keluarga dan tidak bersedia untuk bertukar serta berkhidmat di kawasan luar bandar, menjadi salah satu alasan utama pegawai perubatan menolak tawaran pelantikan tetap di Sabah dan Sarawak.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebanyak 63 peratus pegawai perubatan yang ditawarkan untuk berkhidmat di dua negeri berkenaan telah melapor diri.

Jelasnya, di Sarawak, seramai 337 daripada 526 pegawai perubatan yang ditawarkan melapor diri, manakala di Sabah, 336 daripada 528 pegawai turut berbuat demikian.

"Meskipun begitu, ia merupakan satu perbandingan yang ada sedikit baiknya, berbanding 2022-2023, iaitu 42 peratus 'no-show' ataupun yang gagal melapor.

"Kadar kali ini adalah menurun sebanyak lima peratus, dengan sedikit kebaikan yang saya tidak pun rasa selesa, dengan prestasi yang sedikit ditunjukkan sebagai penambahan, ataupun progres peningkatan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta menteri nyatakan jumlah sebenar pegawai perubatan yang gagal melapor diri sebaik tempoh penempatan berakhir hari ini, di samping punca dan langkah mengatasinya, pada  Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Menjelaskan lanjut, Dr Dzulkefly berkata alasan lain pegawai perubatan menolak melapor diri di Sabah dan Sarawak adalah kerana mereka lebih berminat untuk bertugas di fasiliti kesihatan di kawasan bandar.

Selain itu, katanya, pegawai perubatan berpandangan tidak mempunyai peluang kerjaya yang baik sekiranya berkhidmat di luar bandar dan pedalaman.

“Keempat, pegawai ingin menjaga ibu bapa dan adik-beradik serta ingin berada berdekatan dengan pasangan.

“Seterusnya, pegawai menghidap masalah kesihatan dan juga menghadapi masalah logistik, kewangan peribadi serta kos pemindahan yang tinggi,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, antara faktor lain ialah persepsi mengenai kurangnya peluang melanjutkan pengajian kepakaran jika ditempatkan di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, pegawai turut bimbang mengenai hala tuju kerjaya serta peluang untuk bertukar semula ke Semenanjung atau wilayah asal masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil beberapa langkah bagi menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan melapor diri di Sabah dan Sarawak.

Antaranya, menambah baik kaedah penempatan pegawai perubatan lantikan tetap menerusi sistem e-Placement dengan penggunaan teknologi algoritma bagi menentukan penempatan.

KKM turut memberikan taklimat mengenai proses penempatan serta mengeluarkan keputusan penempatan lebih awal bagi membolehkan pegawai membuat persediaan secukupnya sebelum melapor diri.

"Selain itu, pegawai yang layak menerima elaun pertukaran turut diberikan kemudahan meliputi elaun makan, bayaran sewa hotel, lojing dan tambang perjalanan, termasuk kemudahan berkaitan pertukaran daripada lantikan kontrak kepada tetap," kata Dr Dzulkefly.

Beliau berkata pegawai perubatan yang bertukar kembali ke wilayah asal turut layak menerima elaun gangguan atau inconvenience allowance bersamaan sebulan gaji hakiki.

KKM turut memberikan merit tambahan kepada pegawai perubatan yang pernah berkhidmat di Sabah dan Sarawak dalam pertimbangan tawaran program latihan kepakaran dan cuti belajar di kementerian itu.

Must Watch Video

Advertisement