MALAYSIA
Jawatan Perdana Menteri bukan perisai undang-undang - Hamzah

Hamzah (kiri) menegaskan pemimpin negara mempunyai tanggungjawab moral untuk memperlihatkan teladan kepimpinan dengan bersedia melalui setiap proses kehakiman secara terbuka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatan Perdana Menteri tidak harus dijadikan perisai oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan perbicaraan di mahkamah, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ringkasan AI
- Pemimpin negara harus menghadapi proses kehakiman: Hamzah menegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri tidak boleh dijadikan perisai untuk mengelakkan perbicaraan, dan pemimpin harus menunjukkan teladan kepimpinan dengan bersedia melalui proses mahkamah secara terbuka.
- Penolakan permohonan Anwar Ibrahim: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk isu imuniti daripada saman sivil, kerana ia tidak memenuhi peruntukan undang-undang yang diperlukan.
- Kes saman tetap diteruskan: Mahkamah juga menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan dan mengarahkan beliau membayar kos RM20,000, dengan kes saman oleh Muhammed Yusoff Rawther dijadualkan bermula 16 Jun.
"Sesiapa pun yang memimpin negara, beliau mempunyai tanggungjawab moral untuk
memperlihatkan tauladan kepimpinan kepada rakyat, dengan bersedia untuk melalui setiap proses kehakiman secara terbuka, demi imej serta kemuliaan Institusi Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Hamzah berpendapat, sekiranya Perdana Menteri mendakwa rujukan beliau itu bertujuan untuk memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin berlaku secara strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi, maka beliau sistem perundangan Malaysia sudah pun mempunyai mekanisme menapis saman yang remeh atau berniat jahat.
Kata beliau, konsistensi adalah penting, jika ada mana-mana pihak cuba memberikan gambaran seolah-olah kehakiman negara tidak mampu membezakan antara tuntutan yang sah berbanding motif politik, ia merupakan satu penghinaan terhadap kebebasan badan kehakiman yang sepatutnya dipertahankan.
Pada 23 Mei lalu, Anwar dilapor memfailkan kepada Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.
Susulan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain pada Rabu memutuskan bahawa Ahli Parlimen Tambun itu gagal dalam permohonannya selepas mendapati ia tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).
Ketika membaca keputusan tersebut, beliau menjelaskan bahawa tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili hingga memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan atau Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah juga menolak permohonan lisan Perdana Menteri untuk penangguhan perbicaraan kerana tiada keadaan istimewa yang mewajarkan ia dibenarkan.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membayar kos sebanyak RM20,000 dan memerintahkan kes saman berkenaan diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 16 Jun depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami