KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan 10 Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk mengukur keberkesanan strategi menangani COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diterajui Khairy Jamaluddin.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Kesihatan PH yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Khairy berkata, parameter ditetapkan boleh diambil kira dan digunapakai menilai prestasi KKM pada bulan-bulan mendatang dalam menguruskan pandemik.

"Kami berharap lantikan ini (Khairy) akan bertindak sebagai 'reset' dalam menguruskan COVID-19 secara 'Pendekatan Pengembelenggan Nasional' termasuk isu rumit dan aspek pelbagai dalam sistem kesihatan Malaysia.

"Pendekatan 'reset' terhadap COVID-19 hendaklah berdasarkan bukti serta fokus kepada perkara asas pengawalan penyakit berpandukan kejadian serta pengalaman sebenar dan kepakaran semua rakyat Malaysia.

"Ini termasuk pelaburan penting dalam mengukuhkan kapasiti kesihatan awam dalam implementasi strategi Cari-Uji-Jejak-Asing-Sokong (FTTIS) dan vaksinasi (V) yang harus dijalankan secara bersama dan bukannya berasingan," katanya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Jawatankuasa Kesihatan PH berkata, dalam masa 100 hari, 10 asas KPI itu akan menentukan penanda aras dalam menangani COVID-19.

Ujarnya, ia bukan sahaja memperluaskan liputan vaksin namun akan mengawal virus ini daripada merebak dan mengeluarkan kluster tersembunyi di dalam sesebuah komuniti.

"Barulah strategi endemik jangka panjang boleh diwujudkan setelah asas kesihatan awam dipatuhi dan kapasiti penjagaan kesihatan diperkuatkan.

"Semua ini boleh dicapai melalui kerjasama yang lebih kukuh dan terbuka dengan semua pihak terbabit di dalam sektor swasta, akademik, NGO dan juga pihak pembangkang," katanya.

Berikut merupakan 10 KPI Jawatankuasa Kesihatan PH kepada KKM:

1) CARI – Integrasi teknologi dan penambahbaikan keberkesanan sistem pengesan automatik, seperti sistem HIDE sekarang yang digunakan untuk meramal kawasan panas sekurang-kurangnya 14 hari ke hadapan. Ini dapat dicapai melalui intervensi dan pengamalan SOP yang sesuai dan seterusnya boleh mengurangkan kawasan-kawasan panas baru yang ketara (~70 peratus).

2. UJI – Strategi Pengujian Kebangsaan dalam memastikan kadar ujian kebangsaan berada dibawah 5 peratus melalui penambahgunaan RTK Ag dalam komuniti. Pihak Kementerian haruslah meluaskan sasaran dengan kadar 250,000 ujian sehari sehingga kadar yang bergejala positif dapat diturunkan di seluruh negara dalam jangka masa yang ditentukan.

3. KESAN – Menambahbaikan kapasiti kontak kesan digital MySejahtera agar dapat mengesan sekurang-kurangnya 80 peratus kontak rapat dalam masa 24 jam. Pencapaian ini dapat mengurangkan “kes-kes sporadik” di dalam komuniti secara ketara.

4. ASING – Mengurangkan masa pengasingan dan kemasukan kepada kurang dari 24 jam dari waktu dikesan. Ini termasuk menyediakan mekanisme untuk pengasingan ataupun pantas mengeluarkan “Arahan Pengawasan di Rumah” secara digital kepada profile pengguna MySejahtera dalam masa 24 jam selepas dikesan.

5. SOKONG – Kerajaan harus membekalkan “Kit Penjagaan Kendiri” termasuk oximeter, thermometer dan kit ujian sendiri terutamanya bagi komuniti B40 dan M40. Sokongan fiskal untuk golongan B40 dan komuniti pendapatan rendah yang berada dalam kuarantin juga digalakkan. Ini termasuk juga penggabungan Gabungan Nasional Kesihatan Mental dengan komuniti yang paling rapat dengan Sokongan Sosial Psaikologi dan Kesihatan Mental (MHPSS).

6. Mengurangkan kadar kejadian kepada bawah 55 per 100,000 dan menambah kajian genomik kepada lebih daripada 2 peratus supaya dapat mengawalselia perubahan virus kepada varian-varian baru. Dengan car aini kita dapat memahami bagaimana ianya memberi impak terhadap kesihatan dan komuniti.

7. Mengurangkan Kes Kadar Kematian (CFR) daripada sekitar 0.94 peratus kepada 0.5 peratus dan mengurangkan jumlah Dibawa Masuk Mati (BID) daripada 22 peratus kini sehingga kurang dari 10 peratus.

8. Mencapai Penghunian Katil Hospital kepada bawah 70 peratus dan katil ICU COVID-19 kepada bawah 50 peratus di seluruh negara serta servis kesihatan tanpa gangguan untuk kes-kes COVID-19.

9. Liputan vaksinasi lengkap sebanyak 80 peratus di seluruh negara dan pelan dos penggalak untuk individu berisiko tinggi termasuk petugas kesihatan, barisan hadapan dan pesakit berkomorbiditi.

10. Ketelusan dan sumber terbuka yang lebih baik untuk data granular COVID-19 melalui GitHub bagi sesuatu daerah atau mukim. Ini termasuk juga kerjasama yang lebih baik dengan Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan dalam pengurusan COVID-19.