KUALA LUMPUR:Penubuhan Khas Jawatankuasa Bebas sepanjang tempoh pelaksanaan darurat perlu mengambil kira komposisi dan struktur termasuk wakil pembangkang dalam memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai semak dan imbang.

Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof. Dr Hamidin Abdul Hamid berkata, ketika ini kerajaan masih belum memperincikan bagaimana struktur jawatankuasa tersebut.

Selain semak dan imbang, aspek ketelusan dalam membuat dasar juga perlu diutamakan dalam pembentukan Jawatankuasa Khas Bebas.

"Saya kira itu seharusnya diambil berat oleh kerajaan di mana mesti mewakili kedua-dua belah pihak pembangkang dan kerajaan.

"Saya kira sudah tentu kita mempunyai ramai pemimpin yang berkaliber dalam konteks ahli politik, yang boleh memberikan nasihat terutamanya mereka yang memahami selok-belot pentadbiran awam dan polisi awam," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Khamis.


Mengulas lanjut, Hamidin yang juga Felo Penyelidik ILHAM Centre berkata Jawatankuasa Bebas tersebut turut perlu diwakili kumpulan teknokrat.

Ia bagi membantu kerajaan dalam memastikan setiap dasar dilakukan dengan segera, sekali gus membantu kerajaan mengatasi penularan pandemik COVID-19 dan masalah pekerjaan, jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas disifatkan penting untuk meyakinkan para pemegang taruh khususnya pelabur asing.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Muhammad Fuad Othman berkata, ia bagi mencerminkan bahawa Malaysia berada pada landasan tepat dan berupaya menjalankan ekonomi seperti biasa walaupun dalam keadaan darurat.

"Oleh hal demikian, ada beberapa perkara yang diambil kira oleh kerajaan dalam melantik dan membina Jawatankuasa Khas Bebas ini.

"Sebagai contohnya, sepertimana kita tahu perlulah diwakili bukan sahaja kerajaan tetapi juga pihak pembangkang dan golongan profesional.

"Selain itu, ahli-ahli dalam jawatankuasa ini perlulah daripada mereka yang mahir dan berpengalaman serta boleh memberi petunjuk untuk merancang apa yang terbaik untuk negara," katanya.


Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan bagi menjamin pelaksanaan darurat adalah adil dan telus.

Ia juga berperanan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.