KUALA LUMPUR: Jawatankuasa khas kaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Menggubal Undang-undang Islam diharap dapat mengesyorkan kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan agar menaik taraf Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang tertangguh lama.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, antara cadangan penting ialah untuk menaikkan had hukuman denda maksimum daripada RM5,000 kepada RM100,000.

"Kali terakhir dipinda Akta 355 ini ialah 1984 iaitu antara lainnya menaikkan hukuman daripada had denda maksimum RM1,000 kepada RM5,000.

"Setelah 40 tahun adalah tidak munasabah had denda masih kekal pada RM5,000 memandangkan status ekonomi dan pendapatan rakyat sudah jauh berubah," katanya dalam satu muat naik di Facebook, pada Khamis.

Asyraf yang juga Pengerusi MARA itu berkata, antara contoh kes melibatkan penafian hak ke atas wanita atau isteri yang menuntut nafkah atau harta sepencarian apabila ditinggalkan suami kerana kahwin lain dan sebagainya.

"Banyak kes suami lebih rela bayar denda RM5,000 daripada kena bayar nafkah atau tuntutan harta sepencarian yang berjumlah puluhan atau ratusan ribu kepada isteri.

"Ini contoh ketidakadilan kepada wanita lantaran kekangan perundangan seperti had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah," ujarnya.