MALAYSIA
Jawatankuasa khas tangani beban guru perlu ditubuhkan segera - NUTP

Aminuddin Awang berkata isu bebanan tugas yang dialami guru bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia masalah yang membelenggu kebanyakan guru sejak sekian lama. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa penubuhan segera jawatankuasa khas bagi menangani isu beban tugas guru selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meringankan tekanan terhadap pendidik.
Ringkasan AI
- NUTP menggesa penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani isu beban tugas guru secara menyeluruh, selaras dengan tujuh inisiatif KPM yang bertujuan meringankan tekanan terhadap pendidik.
- Presiden NUTP menyatakan bahawa bebanan tugas guru melibatkan tugasan di luar skop profesional dan memerlukan pendekatan berfasa seperti tindakan segera, jangka sederhana dan jangka panjang.
- Presiden PIBGN menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap pelaksanaan inisiatif KPM dan mencadangkan penambahan pembantu pentadbiran di sekolah agar guru dapat fokus kepada pengajaran dan pembangunan kompetensi.
"NUTP amat berharap jawatankuasa khas itu dapat ditubuhkan bagi mencari jalan ke arah mengatasi isu beban tugas guru. NUTP ingin mengulangi sekali lagi bahawa bebanan tugas guru ini lebih bersifat guru terpaksa melakukan tugasan di luar tugas profesional mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau mengulas mengenai langkah KPM yang menggariskan tujuh inisiatif untuk mengurangkan beban guru, termasuk memansuhkan acara tidak berimpak tinggi serta melantik orang awam sebagai pengawas peperiksaan.
KPM menerusi cadangan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) turut menggariskan untuk mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).
Aminuddin berkata tujuh langkah yang diumumkan KPM itu adalah cadangan daripada MPPK Sesi 2023/2025 yang telah dilaksanakan sejak Februari tahun lepas.
"Memang inisiatif itu telah membantu mengurangkan bebanan guru kita, namun masih banyak lagi penambahan yang perlu dibuat.
"Usaha untuk mengurangkan beban tugas guru ini sebenarnya tidak boleh dilakukan serentak dan memerlukan beberapa fasa seperi fasa tindakan segera (quick wins), fasa jangka sederhana dan fasa jangka panjang dan tujuh langkah itu boleh dianggap sebagai usaha dalam fasa quick wins pada masa berkenaan," katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata pentingnya pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan langkah berkenaan mencapai matlamat dan bukan sekadar hasrat semata-mata.
NUTP-JAWATANKUASA 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Guru sepatutnya boleh menumpukan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP), meningkatkan kompetensi melalui penyelidikan serta membudayakan amalan membaca," katanya.
Beliau turut mencadangkan penambahan pembantu pentadbiran di sekolah bagi mengendalikan tugas bukan akademik yang selama ini dibebankan kepada guru.
"Kalau kita sediakan pembantu makmal atau pembantu teknologi maklumat, maka pembantu pentadbiran ini perlu kita pastikan nisbahnya mencukupi supaya guru boleh beri tumpuan pada PdP mereka, kajian terhadap perkara ini perlu dilakukan.
"Daripada terpaksa memikul beban tugasan yang tidak seharusnya mereka laksanakan, adalah lebih baik jika mereka memberikan tumpuan terhadap penguasaan kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M) murid," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami