Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mula beroperasi Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia merupakan inisiatif Transformasi Pengurusan Bandar yang dipersetujui majlis negara kerajaan tempatan.

Bagaimanapun katanya, tiga PBT di Wilayah Persekutuan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan tidak termasuk di dalam JPP yang diumumkan itu.

Ia akan dianggotai 10 orang iaitu seorang pengerusi, setiausaha dan lapan ahli jawatankuasa. Menurut Muhyiddin, Exco terbabit akan dibayar elaun bulanan mengikut penarafan PBT masing-masing.

Jelasnya, peruntukan RM63 juta disediakan untuk pembayaran elaun berkenaan.

Tambah muhyiddin, mereka yang dilantik akan menjalankan tugas selama dua tahun dan maksimum dua penggal.

JPP ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan penduduk dalam program dan pembangunan kawasan setempat, membantu menangani kesejahteraan bandar dan mewujudkan hubungan baik di kejiranan setempat.