KUCHING: Satu mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) akan diadakan dalam tempoh dua minggu bagi memuktamadkan isu pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata mesyuarat itu susulan perbincangan peringkat pegawai yang telah selesai diadakan Sarawak bagi mengenal pasti isu kuasa yang boleh diserahkan kepada kerajaan negeri dalam pengurusan hal ehwal pendidikan dan kesihatan.

"Seperti yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kunjungannya semalam, misalnya sekolah yang dibina oleh kerajaan Sarawak itu kualiti dan kosnya lebih murah yang sama standard seperti yang ditetapkan, maka akan dilaksanakan ikut persetujuan," katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Duit Raya anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kekangan kerajaan Persekutuan sekarang adalah dari segi peruntukan wang bagi melaksanakan projek pembinaan seperti sekolah dan hospital.

"Misal kata, kerajaan negeri memerlukan supaya Sarawak dapat menubuhkan Pusat Kanser sendiri, tetapi disebabkan peruntukan dan juga berapa dasar lain, maka semalam telah dipersetujui akan diwujudkan jawatankuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Secara prinsip akan membenarkan kerajaan negeri untuk mendahulukan dana pembinaan pusat kanser tersebut dan kerajaan Persekutuan akan membiayainya kemudian hari secara perundingan dan kaedah bayarannya," katanya.

Semalam, semasa Taklimat Pembangunan Sarawak di Kota Samarahan, Perdana Menteri bersetuju supaya satu jawatankuasa khas antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak ditubuhkan bagi memperhalusi isu sektor pendidikan dan kesihatan di negeri itu tanpa birokrasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata jawatankuasa berkenaan berbeza dengan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri kerana ia menjurus kepada projek pendidikan dan kesihatan Persekutuan.

"Pegawai (kerajaan) negeri akan bekerjasama dengan pegawai Persekutuan bagi membincangkan perkara yang perlu diambil tindakan segera agar kurang birokrasi dan pastikan projek (berkaitan dua sektor) ini dilaksanakan dengan segera," katanya.

-- BERNAMA