Skip to main content

Dunia

34 petugas kesihatan dijangkiti ebola, 7 maut - Africa CDC

Jean Kaseya, Director General of the Africa CDC, during an interview at the Fairmont Hotel in Washington, D.C., U.S., April 13, 2026. REUTERS/Ken Cedeno
Menurut Kaseya (foto), Wilayah Ituri di timur DRC kini menjadi pusat penularan wabak, merangkumi 90 peratus kes disahkan dan 76 peratus kematian. -Gambar fail/Reuters

ADDIS ABABA: Sebanyak 34 petugas kesihatan dijangkiti virus Ebola setakat ini, dengan tujuh daripadanya meninggal dunia manakala enam lagi pulih, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada sidang media maya bersama Africa CDC dan WHO pada Jumaat, Ketua Pengarah Africa CDC Jean Kaseya berkata sebanyak 397 kes Ebola telah disahkan melalui ujian makmal di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda, dengan 381 kes di DRC dan 16 kes di Uganda. Jumlah kematian akibat kes disahkan kini mencecah 63 orang, termasuk seorang di Uganda.

Beliau berkata lapan pesakit telah dibenarkan keluar dari pusat rawatan selepas pulih daripada penyakit itu, termasuk enam di DRC dan dua di Uganda.

Menurut Kaseya, Wilayah Ituri di timur DRC kini menjadi pusat penularan wabak, merangkumi 90 peratus kes disahkan dan 76 peratus kematian.

Susulan penularan wabak yang semakin buruk, Presiden DRC Felix Tshisekedi pada Jumaat melantik Kasongo Mulumba Batoka Gaby sebagai gabenor tentera baharu bagi Wilayah Ituri.

Sementara itu, Africa CDC dan WHO menekankan cabaran operasi utama termasuk kekurangan rawatan perubatan yang tersedia bagi strain Ebola Bundibugyo, infrastruktur kesihatan yang lemah serta tekanan terhadap sistem kesihatan yang sudah berdepan pelbagai kecemasan kesihatan.

Kedua-dua institusi itu berkata kekangan sumber, mobiliti penduduk yang tinggi, isu keselamatan dan perpindahan penduduk, jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan, selain maklumat palsu dan ketidakpercayaan masyarakat, turut memburukkan keadaan.

Bagi memperkukuh penyelarasan usaha membendung wabak, kedua-dua institusi itu melancarkan pelan kesiapsiagaan dan tindak balas wabak Ebola peringkat benua semasa sidang media berkenaan, dengan sasaran mengumpul dana US$518 juta bagi membantu negara Afrika membuat persediaan, mengesan dan bertindak balas secara pantas terhadap wabak itu bagi tempoh Jun hingga November.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement