ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) meraikan sambutan sedekad dominasi Liga Super secara besar-besaran di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Sambutan sebagai simbolik kepada pencapaian luar biasa Harimau Selatan itu antara lain diserikan dengan pertunjukan bunga api dan 1,000 dron bercahaya yang menerangi langit Iskandar Puteri serta JDT Fan Fest 2023 yang diadakan di stadium itu sejak 8.30 pagi.

Sejumlah 33,169 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan akhir JDT bertemu Penang FC turut disajikan dengan persembahan artis tempatan dan antarabangsa seperti Tuju, Loca, French Montana, Vegedream serta Jabbawockeez.

Aktiviti lain ialah cabutan bertuah, permainan interaktif dan e-sukan.

JDT juga menyediakan skrin gergasi di setiap daerah untuk penyokong yang tidak dapat hadir ke stadium menyaksikan kehangatan sambutan itu.

Terdahulu, JDT menamatkan aksi terakhir Liga Super dengan berpesta gol selepas menewaskan Penang FC 8-0.

Kemenangan itu turut menyaksikan JDT merekodkan gol ke-100 pada liga musim ini selepas mengesahkan kejuaraan pada September lepas.

-- BERNAMA