MELAKA: Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan program bermusim atau berkempen sebaliknya kesinambungan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan bagi mendengar serta menyelesaikan permasalahan rakyat secara langsung.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pendekatan itu membolehkan kerajaan meneliti aduan rakyat secara lebih dekat sekali gus memastikan sebarang masalah mampu diselesaikan segera.
"Kita (Kerajaan Negeri Melaka) telah bergerak (memulakan program) sejak dua tahun lepas, jauh lebih awal daripada βmoodβ pilihan raya kerana memang dasar kerajaan negeri memberikan kebajikan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat siri ke-10 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Taman Cempaka di sini hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin.
Ab Rauf berkata menerusi siri jelajah itu, lapan perkara susulan daripada program WRUR dan Hari Exco bersama Rakyat (HEBAT) berjaya diselesaikan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata antara isu diberi perhatian ialah penyelesaian berkaitan tanah perkuburan Islam yang dimiliki seorang pemilik berbangsa Cina.
"Pemilik tanah telah memberikan diskaun 50 peratus daripada harga pasaran tanah di Pengkalan Batu dan pemberian itu amat menyentuh hati serta perasaan masyarakat Islam di sini," katanya.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut membantu membaik pulih lima rumah uzur selain menyediakan sebuah rumah bernilai RM100,000 menerusi Program Baiti Jannati oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Pada hari ini kita juga dapat menyaksikan penyerahan dewan terbuka yang dibina oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk kegunaan masyarakat di DUN Pengkalan Batu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata program WRUR kini telah memasuki siri ke-25 dengan hanya baki lima DUN perlu dilaksanakan penganjurannya.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan terus mendengar masalah, aduan dan cadangan rakyat untuk dijadikan input dalam menambah baik dasar serta pentadbiran.
-- BERNAMA