SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah haji supaya berwaspada dengan cuaca panas di Arab Saudi.

Pengarah Operasi Stesen Berlepas Sepang TH, Khairul Azihar Rapar berkata, suhu di negara berkenaan ketika ini mencecah 40 darjah Celsius dan boleh meningkat lebih tinggi.

"Kita (TH) selalu ingatkan jemaah haji supaya sentiasa waspada dengan keadaan cuaca panas untuk elak berlakunya strok haba.

"Kita sedia maklum di Malaysia pun ketika ini cuaca agak panas, jadi nasihat kita pada jemaah haji untuk jaga kesihatan dan ikut segala saranan yang telah dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pelepasan jemaah haji kumpulan ke-14 di Kompleks Tabung Haji Sepang pada Rabu.

Katanya lagi, setakat ini, seramai lebih 4,000 jemaah haji telah diterbangkan ke tanah suci bagi menunaikan ibadah berkenaan termasuk kumpulan yang bakal berlepas hari ini.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan kesemua jemaah haji agar membuat persediaan awal bagi mengelakkan berlakunya kelewatan pada saat akhir.

"Jadual penerbangan tahun ini jaraknya kurang dari satu jam jadi kita galakkan bakal-bakal haji untuk datang lebih awal.

"Kita akan proses lebih awal untuk elak kelewatan jadi apabila kita panggil (jemaah haji) harap mereka segerakan urusan," ujarnya lagi.

Bagi tahun ini, hari wuquf iaitu 9 Zulhijah dijangka jatuh pada Selasa iaitu 27 Jun ini.

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines pada tahun ini berbanding 48 pada 2022.