PUTRAJAYA: Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu mengutuk keras serangan terhadap rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan jemaah menteri memberi amaran keras bahawa sebarang tindakan yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Beliau menjelaskan, jemaah menteri juga mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak cuba untuk menghasut rakyat membuat tindakan yang melanggar undang-undang.

"Jemaah Menteri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah membakar kediaman Ahli Parlimen Beruas yang berlaku awal pagi tadi serta mengucapkan penghargaan kepada bomba yang memadam kebakaran itu dengan segera.

"Jemaah Menteri turut memberi amaran keras, bahawa sebarang tindakan yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa," katanya pada sidang media pada Rabu.

Awal pagi Rabu, kediaman Koo Ham diserang dengan 'molotov cocktail' sehingga menyebabkan kebakaran yang memusnahkan salah sebuah keretanya.

Susulan kejadian itu, katanya, pihak bomba berkejar dan sempat memadamkan api dan mengelak kebakaran tersebut merebak ke dalam bangunan kediamannya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Jemaah Menteri mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang, termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan.

"Jangan sesekali cuba membuat sebarang cubaan mengapi-apikan sentimen atau menghasut rakyat untuk melanggar undang-undang terutama terhadap mereka yang berlainan pendapat.

Dalam pada itu, beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Perdana Menteri merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta Kementerian Luar di atas kejayaan membabitkan kes waris Sulu.

"(Penimbang tara Sepanyol) Gonzalo Stampa dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan diharamkan berkhidmat sebagai penimbang tara selama setahun oleh Mahkamah Madrid.

"Inilah adalah kejayaan yang besar dan beberapa langkah lagi di beberapa negara lain, termasuk di Perancis dan mungkin ada pengumuman susulan oleh menteri khusus berkaitan isu ini," katanya.

Fahmi juga berkata, dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan supaya Jemaah Menteri mengamalkan konsep bekerja sebagai satu pasukan, terutama ketika menjawab persoalan dibangkitkan di Parlimen.

"Sebagai contoh bagi isu hal ehwal Sabah dan Sarawak, yang akan menjawabnya ialah Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri).

"Sekiranya beliau tidak boleh menjawab atau tidak berada di Parlimen, maka akan dijawab Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, (Datuk Ewon Benedick).

"Jika beliau tidak ada, akan dijawab oleh Menteri Perpaduan (Datuk Aaron Ago Dagang). Jika ketiga-tiga menteri tidak ada, maka timbalan kepada Fadillah akan menjawab," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi berkata, berkaitan isu bencana, ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekiranya beliau tiada, tanggungjawab itu akan diambil alih oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Katanya, bagi isu FELDA, Jemaah Menteri memutuskan dijawab oleh Ahmad Zahid.

"Sebelum ini isu FELDA dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tetapi mesyuarat hari ini memutuskan supaya ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri.

"Sekiranya beliau tidak berada di Parlimen atau tidak dapat menjawab, (isu FELDA) akan dijawab oleh timbalan beliau (Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perdana Menteri bersetuju untuk membincangkan semula kedudukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Ini selepas unit berkenaan diletakkan kembali di bawah Kementerian Perpaduan Negara selepas berada di bawah kawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebelum ini.

"MITRA ada perbincangan yang akan diadakan selepas Menteri Perpaduan mendapat maklum balas daripada orang ramai dan pihak berkepentingan. Perdana Menteri sudah bersetuju untuk membincangkannya semula," katanya.