KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri menerusi media sosial mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua umat Islam, dan mengajak seluruh ummah untuk berselawat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul, beliau berkata sirah perjuangan dan kehidupan Rasulullah merupakan sumber rujukan amat berharga untuk semua pihak, dalam membangunkan sebuah negara.

"Kegigihan dan keteguhan baginda Nabi SAW di dalam menempuhi cabaran dan kesulitan menyebarkan risalah Islam dengan penuh tekad dan keberanian, menjadi contoh ikutan bahawa kita dituntut untuk sabar, tabah dan istiqamah, di dalam memimpin perubahan demi mencapai kejayaan yang diimpikan.

"Jadikan hari ini, hari untuk kita bersama renungkan dan menerapkan nilai-nilai mahmudah yang ada di dalam diri baginda Nabi SAW untuk dipraktikkan, khususnya di dalam mengukuhkan perpaduan, menghargai kepelbagaian yang Allah takdirkan dan menghormati kerencaman etnik, budaya dan agama di Malaysia," katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pula mengajak umat Islam untuk mengamalkan sunnah Rasulullah, dan mendoakan agar semua terus menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, menyeru umat Islam mentaati perintah Allah SWT dan mengamalkan semua sabda Rasulullah, serta turut mendoakan supaya rasa kasih dan cinta ummah kepada Nabi Muhammad semakin bertambah.

"Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan terpuji. Menyuluh kehidupan insan dengan cahaya Rabbani. Semoga kita menjadi umat yang mendapat syafaat Baginda Rasulullah di akhirat sana," katanya.

Bagi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, beliau berkata suri teladan yang ditonjolkan Nabi Muhammad SAW, merupakan pedoman buat semua selaras pendekatan 'Karamah Insaniah', yang mengangkat maruah dan harga diri melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata satu daripada cara bagi membuktikan kecintaan kepada Rasulullah ialah dengan meneladani sunnah baginda.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengajak umat Islam untuk menghayati dan mencontohi ukhuwah Nabi Muhammad serta para sahabat, selaras dengan tema Maulidur Rasul tahun ini iaitu Perpaduan Teras Malaysia Madani.

-- BERNAMA