NILAI: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya mematuhi saranan dan nasihat doktor, pegawai kesihatan dan petugas Tabung Haji sepanjang berada di Tanah Suci bagi memastikan mereka dapat melaksanakan rukun Islam kelima itu dengan lancar dan selamat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata keadaan suhu di Arab Saudi ketika ini sekitar 34 hingga 35 darjah Celsius dan dijangka meningkat dari semasa ke semasa, justeru jemaah perlu memberi perhatian terhadap aspek kesihatan sepanjang menunaikan ibadah berkenaan.
Advertisement
"Keadaan di Arab Saudi dan Tanah Suci ketika ini berada dalam keadaan sangat baik. Jemaah dinasihatkan mematuhi nasihat doktor dan pegawai kesihatan serta petugas di sana. Semoga semua jemaah fokus menjalani ibadah dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Buku Modul dan Kursus Akademi Seni Media Islam (ASMI) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang turut dihadiri Pro Canselor USIM Tunku Zain Al 'Abidin Tuanku Muhriz.
Sementara itu, Zulkifli berkata program ASMI anjuran USIM dan AlHijrah itu merupakan inisiatif strategik dalam memperkenalkan buku modul dan kursus latihan yang dirangka bagi membangunkan bakat, kemahiran serta kompetensi pengamal media Islam.
Beliau berkata peranan media Islam kini semakin kritikal dan tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai alternatif, sebaliknya perlu tampil sebagai rujukan utama yang mengangkat naratif kebenaran, keadilan dan kesejahteraan.
“Kita mendepani fenomena dipanggil sebagai information overload di merata media sosial yang sering kali mengaburkan garis pemisah antara perkara benar dan batil. Media bukan sekadar alat menyalurkan berita tetapi ia menjadi instrumen yang boleh membentuk serta mempengaruhi cara pemikiran, gaya hidup dan sistem nilai sesebuah masyarakat,” katanya.
Program itu disertai 100 peserta terdiri daripada wakil universiti, industri media dan agensi lain dalam memberi tumpuan kepada komunikasi dakwah, penerbitan kandungan media Islam, pengurusan media, strategi penyampaian dakwah kepada pelbagai golongan masyarakat serta pengurusan krisis media.
-- BERNAMA