Skip to main content

Malaysia

'Jenama perlu menangi hati, bukan hanya data' - Henry Tan

Henry Tan MSA
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata di tengah-tengah kebanjiran teknologi dan sistem perancangan media yang canggih, nilai kemanusiaan dan emosi tetap menjadi kunci utama dalam membina hubungan yang bermakna antara jenama dan pengguna. - Foto Astro AWANI
Advertisement

PETALING JAYA: Pengamal media termasuk perancang media diseru supaya tidak hanya bergantung kepada data semata-mata, sebaliknya melakukan anjakan paradigma dengan menerapkan nilai luar biasa dalam setiap strategi bagi mendepani evolusi industri yang semakin pesat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata di tengah-tengah kebanjiran teknologi dan sistem perancangan media yang canggih, nilai kemanusiaan dan emosi tetap menjadi kunci utama dalam membina hubungan yang bermakna antara jenama dan pengguna.

Beliau menekankan bahawa perbezaan di antara hasil kerja yang ‘biasa’ (ordinary) dan ‘luar biasa’ (extraordinary) terletak pada satu perkataan mudah iaitu ‘extra’ (tambahan).

“Setiap cabaran dan ketidakadilan dalam kerjaya sebenarnya adalah batu loncatan untuk menjadikan kita lebih kuat.

"Persoalan utamanya bukan bagaimana teknologi berubah, tetapi bagaimana anda sebagai individu berubah dan berevolusi?

"Anda perlu melakukan lebih daripada sekadar tugas hakiki untuk menjadi perancang media yang luar biasa.

"Pemimpin (bos) atau syarikat tidak boleh mengambil nilai 'extra' itu daripada anda jika ia sudah menjadi sebahagian daripada kualiti diri anda," katanya.

Mengulas mengenai strategi media masa kini, Henry menyatakan bahawa industri kini berada dalam 'lautan kelabu' sekiranya hanya mementingkan angka dan data metrik tanpa pengisian emosi.

"Data dan sistem seperti AI serta programatik hanyalah alat untuk kecekapan. Namun, untuk benar-benar terpahat di hati dan minda pengguna, jenama perlu memenangi emosi mereka.

"Warna akan sentiasa menang di dalam lautan kelabu," jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada program MSA Mediavolution 2026, di sini, hari ini.

Henry turut memperkenalkan konsep ‘Fandom 360’ sebagai evolusi kepada sasaran audiens (target audience).

Menurutnya, perancang media tidak seharusnya hanya 'memburu' audiens, tetapi menjadikan mereka peserta aktif melalui minat dan fanatisisme yang dikongsi bersama.

Beliau memberi contoh bagaimana Astro memanfaatkan komuniti peminat melalui genre komedi dan sukan, termasuk sukan tradisi seperti sepak takraw yang kembali mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

“Apabila sesebuah jenama menyokong sesuatu yang dekat di hati rakyat, seperti kemenangan pasukan badminton negara atau filem yang menyuntik semangat patriotik seperti 'Ola Bola' dan 'Terbang', nilai ekuiti dan kepercayaan pengguna terhadap jenama itu akan meningkat tinggi melampaui apa yang boleh diukur oleh angka,” tambahnya.

Beliau mengakhiri ucapan dengan mencabar golongan muda dalam industri media untuk mempunyai 'tujuan' (purpose) yang lebih besar dan tidak sekadar menjual produk.

"Jangan jadi pengikut (me-too). Beranilah untuk berbeza, berimpian besar dan gunakan pemahaman pengguna untuk mencipta idea yang mampu 'terbang' lebih tinggi dan jauh dalam kerjaya anda," katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement