Skip to main content

Dunia

Rundingan COP31 berlarutan, negara peserta masih buntu isu bahan api fosil

Presiden COP31, Murat Kurum, berucap pada sesi pleno penutup Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye. - Foto REUTERS
Presiden COP31, Murat Kurum, berucap pada sesi pleno penutup Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Sidang Kemuncak COP31 dilanjutkan selepas hampir 200 negara gagal capai kata sepakat mengenai perjanjian akhir, khususnya isu bahan api fosil.
  • Draf terkini tidak menyebut pengurangan bahan api fosil dan menggugurkan sasaran pembiayaan AS$120 bilion untuk negara membangun, mencetuskan kritikan pelbagai pihak.
  • Beberapa isu lain seperti sasaran penggunaan elektrik dan teknologi penangkapan karbon masih diperdebatkan, menyebabkan ketidakpuasan hati negara peserta.
Advertisement

ANTALYA: Sidang Kemuncak Perubahan Iklim COP31 dilanjutkan melepasi jadual asal selepas hampir 200 negara gagal mencapai kata sepakat mengenai teks perjanjian akhir, terutama berhubung isu penggunaan bahan api fosil.

Menurut Al Jazeera, rundingan yang berlangsung selama dua minggu di Antalya, Turkiye sepatutnya berakhir pada Jumaat, namun perbezaan pendapat dalam kalangan negara peserta memaksa perbincangan diteruskan.

Presiden COP31 yang juga Menteri Alam Sekitar Turkiye, Murat Kurum, berkata rundingan hampir mencapai persetujuan tetapi masih memerlukan perbincangan lanjut sebelum keputusan muktamad dapat dicapai.

Advertisement

Kebuntuan tercetus selepas draf terbaharu perjanjian itu tidak lagi menyebut mengenai usaha mengurangkan penggunaan bahan api fosil. 

Perkara itu mencetuskan kritikan daripada Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain yang mahu komitmen lebih jelas terhadap peralihan kepada tenaga bersih.

Advertisement

Panama, yang bersama beberapa negara lain menggesa pengurangan bergantung kepada bahan api fosil, memberi amaran bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang dokumen akhir yang mengabaikan isu berkenaan.

Draf terkini turut menggugurkan sasaran pembiayaan sebanyak AS$120 bilion bagi membantu negara membangun menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim, sekali gus meningkatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan negara berpendapatan rendah.

Antara isu lain yang masih diperdebatkan ialah sasaran meningkatkan penggunaan elektrik kepada 35 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga dunia menjelang 2035, selain cadangan memperluaskan teknologi penangkapan karbon yang mendapat bantahan sesetengah negara.

Al Jazeera melaporkan kumpulan alam sekitar menganggap COP31 kurang bercita-cita tinggi dalam menangani krisis iklim yang semakin meruncing, malah ada yang menyifatkannya sebagai antara persidangan iklim paling mengecewakan setakat ini.

Kebuntuan itu berlaku ketika laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini memberi amaran bahawa dunia berada di landasan untuk melepasi had pemanasan global 1.5 darjah Celsius yang dipersetujui menerusi Perjanjian Paris 2015.

 

 

Must Watch Video

Advertisement