Skip to main content

Malaysia

Jenayah AI semakin canggih, kepakaran forensik digital perlu dipertingkat- Penganalisis

Undang-undang khusus AI bukan sahaja perlu merangkumi aspek hukuman, malah tadbir urus, kawal selia, akauntabiliti platform digital dan perlindungan pengguna.- Gambar hiasan/Unsplash
Undang-undang khusus AI bukan sahaja perlu merangkumi aspek hukuman, malah tadbir urus, kawal selia, akauntabiliti platform digital dan perlindungan pengguna.- Gambar hiasan/Unsplash

Advertisement

Ringkasan AI

  • Penggunaan akaun palsu di media sosial menyukarkan pihak berkuasa mengesan individu terlibat dalam penipuan menggunakan kecerdasan buatan, termasuk pemalsuan gelaran kebesaran.
  • Pihak penguat kuasa perlu diperkasa dengan latihan dan peralatan teknologi mencukupi bagi memastikan siasatan jenayah berasaskan AI dapat dijalankan secara berkesan.
  • Undang-undang sedia ada masih boleh digunakan, namun kerangka perundangan khusus AI diperlukan untuk kawal selia, akauntabiliti platform digital dan perlindungan pengguna.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penggunaan akaun palsu di media sosial menjadi antara cabaran utama pihak berkuasa dalam mengesan individu yang terlibat dalam penipuan menggunakan kecerdasan buatan (AI), termasuk pemalsuan gelaran kebesaran dan imej bersama pemimpin negara.

Rakan kongsi pengurusan Tetuan Nazri Yahya & Co, Mohd Nazri Yahya berkata, siasatan lebih mudah dilakukan sekiranya kandungan palsu disebarkan menerusi akaun sebenar, namun menjadi rumit apabila pelaku menggunakan identiti palsu di platform digital.

Menurut beliau, cabaran bukan sahaja melibatkan usaha mengenal pasti individu yang menyebarkan kandungan berkenaan, tetapi juga mengesan pihak yang pertama kali memuat naiknya.

Advertisement

"Kalau misalnya satu kandungan yang dibuat oleh AI ini disebarkan melalui media sosial, dan disebarkan oleh akaun yang sebenar, maka itu tidak ada masalah untuk kita siasat atau mencari siapa yang menyebarkan kandungan tersebut.

"Tetapi isunya, bagaimana kalau sebaran itu dibuat oleh akaun palsu di media sosial? Bagaimana pula kita nak mengesan orang yang sebenarnya pada awal-awal itu memuat naik kandungan berkenaan? Itu cabarannya," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Advertisement

Mengulas lanjut, Mohd Nazri berkata, perkembangan teknologi AI yang semakin canggih turut menuntut peningkatan kepakaran dan keupayaan forensik digital dalam kalangan pihak penguat kuasa.

Katanya, pihak berkuasa perlu dilengkapi dengan latihan serta peralatan teknologi yang mencukupi bagi memastikan siasatan terhadap jenayah berasaskan AI dapat dijalankan dengan berkesan.

"Jadi saya rasa pihak penguat kuasa kita juga harus dilengkapkan dengan kepakaran dari sudut latihan dan juga kelengkapan ataupun peralatan yang mencukupi dari segi teknologi untuk kita membuat, contohnya, forensik digital.

"Siasatan pihak penguat kuasa sekarang ini bukan sekadar pergi ke tempat jenayah dan buat rampasan. Sekarang ini dah lebih daripada itu. Siasatan itu mungkin lebih kepada perisian (software), lebih kepada perkakasan (hardware)," jelasnya.

Mohd Nazri berkata, keupayaan tersebut penting bagi memastikan bukti digital yang dikumpul mencukupi untuk menyokong pendakwaan terhadap individu yang terlibat.

Jelasnya, beban pembuktian dalam kes jenayah adalah tinggi, iaitu melampaui keraguan yang munasabah, sekali gus menuntut ketelitian dalam proses pengumpulan dan pengesahan bukti.

"Kita pun tidak mahu akhirnya penjenayah itu atau kes itu dibuang hanya disebabkan oleh ketidakcukupan bukti.

"Jadi cabaran ini saya nampak lebih kepada penguatkuasaan dan untuk menangani cabaran itu, saya rasa keupayaan penguat kuasa kita perlu dipertingkatkan lagi dalam bidang teknologi ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan undang-undang sedia ada masih boleh digunakan untuk menangani jenayah penipuan menggunakan AI, meskipun terdapat keperluan untuk mewujudkan kerangka perundangan khusus yang lebih komprehensif.

Menurutnya, undang-undang khusus AI bukan sahaja perlu merangkumi aspek hukuman, malah tadbir urus, kawal selia, akauntabiliti platform digital dan perlindungan pengguna.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA serta Majlis Datuk-Datuk Malaysia (MDDM) memberi amaran berhubung taktik penipuan menggunakan AI untuk menghasilkan gelaran diraja palsu dan gambar bersama pemimpin negara bagi memperdaya orang ramai dalam skim pelaburan palsu.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, kes terkini melibatkan seorang wanita dikenali sebagai Yang Xiao Ying atau "Datuk Xenia", yang didakwa menggunakan imej janaan AI untuk menyamar sebagai pemegang gelaran berkenaan di media sosial.

Must Watch Video

Advertisement