KUALA LUMPUR: Kes melibatkan jenayah alam sekitar yang disabitkan di mahkamah meningkat kepada 409 kes pada tahun lepas berbanding 289 kes pada 2019, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sehubungan itu, beliau berkata hukuman lebih berat dan setimpal perlu dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar kerana pencemaran telah menjejaskan ekosistem alam sekitar, memberi impak negatif kepada kualiti kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, negara sering berhadapan dengan isu pencemaran seperti pembuangan sisa kimia ke dalam sungai, pelepasan asap kilang tanpa kawalan sewajarnya, pencerobohan hutan secara berleluasa, pembakaran terbuka, pembangunan tidak terkawal dan lain-lain.

"Secara langsung, keadaan ini memberi kesan buruk kepada alam sekitar seperti pencemaran sumber air, pencemaran udara, peningkatan suhu bumi, banjir kilat, tanah runtuh, kepupusan flora dan fauna serta perubahan cuaca tidak menentu.

"Akibat kerosakan yang berlaku dan bencana alam ini, kerajaan terpaksa memperuntukkan jutaan ringgit untuk membaik pulih infrastruktur, memulihara ekosistem alam sekitar, menampung kos perubatan, menyediakan tempat tinggal untuk rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Nik Nazmi, RUU tersebut bertujuan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang digubal pada 1974 untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran, membaiki alam sekeliling dan bagi maksud-maksud yang berkaitan dengannya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 melibatkan elemen kompaun, penalti, peruntukan denda minimum dan maksimum supaya tindakan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih tinggi dapat diambil ke atas pelaku serta pesalah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

"Sebelum ini, Akta 127 telah melalui enam fasa pindaan melibatkan tatacara penguatkuasaan dan peningkatan denda kepada RM500,000 bagi kesalahan pembakaran terbuka, pencemaran minyak dan buangan di perairan Malaysia, pelupusan haram buangan terjadual serta ketidakpatuhan syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).

"Pindaan pada kali ini (2023) adalah pindaan ketujuh dan memberi keutamaan kepada hukuman, denda dan penalti melalui pewujudan denda minimum dan maksimum jika disabitkan kesalahan di bawah akta ini.

"Selain itu, jumlah denda sedia ada akan dinaikkan sehingga RM10 juta khususnya bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan pencemaran air, pelepasan minyak, pelepasan buangan di perairan Malaysia serta pelupusan haram buangan terjadual," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.

-- BERNAMA