TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara Asia supaya memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk masa depan rantau itu ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin kompleks.
Menurut beliau, cabaran semasa bukan sekadar berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada persaingan kuasa besar dan pendekatan geopolitik lama yang masih berteraskan dominasi serta perebutan pengaruh.
"Konflik seperti tragedi di Gaza, ketegangan di Asia Barat, perang berpanjangan di Ukraine serta persaingan kuasa besar di rantau Asia termasuk isu Laut China Selatan mencerminkan rapuhnya kestabilan antarabangsa," katanya.
Anwar menegaskan, pendekatan berasaskan 'dinamik kuasa jumlah-sifar' yang melihat keuntungan sesebuah negara sebagai kerugian pihak lain hanya akan membawa kepada kegagalan.
Sebaliknya, beliau berkata, dunia memerlukan kepimpinan yang mampu memberikan kejelasan dalam menghadapi perubahan strategik, selain memperkukuh kerjasama berbanding memperluas perpecahan.
Beliau turut menyentuh tekanan terhadap sistem perdagangan global apabila hubungan ekonomi, teknologi, rantaian bekalan dan akses pasaran semakin dipengaruhi pertimbangan geopolitik.
Katanya, sistem pelbagai hala yang menyokong pertumbuhan global selama beberapa dekad tidak harus ditinggalkan, sebaliknya perlu diperbaharui agar mampu menangani cabaran baharu termasuk ekonomi digital dan teknologi muncul.
Dalam konteks Asia, Anwar berkata, negara kuasa pertengahan mempunyai peranan penting kerana mampu menjadi penghubung antara negara maju dan membangun.
Kata Perdana Menteri, ASEAN kekal relevan sebagai platform yang mengutamakan keterangkuman, dialog dan kerjasama dalam menghadapi dunia yang semakin berpecah.
“Cabaran hari ini bukan kekurangan kuasa, tetapi kekurangan kejelasan,” katanya sambil menekankan keperluan kepimpinan yang berani mengambil inisiatif dalam membentuk masa depan serantau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik, di sini, pada Rabu.