KUALA LUMPUR : Sukatan mata pelajaran pendidikan negara perlu ditambah baik dengan memasukkan elemen mengenai cetak rompak sebagai usaha memerangi jenayah itu.

Penerbit filem terkenal, David Teo berkata, sukatan pelajaran baharu itu perlu diperkenalkan kepada pelajar bagi menekankan kepada impak negatif yang dibawa oleh kegiatan cetak rompak digital itu kepada industri perfileman dan juga pendapatan negara.

"Membentuk minda seseorang untuk melihat aktiviti cetak rompak sebagai jenayah adalah satu proses yang panjang. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

"Ini adalah 'ubat' mujarab dalam mengubati dan seterusnya mengekang fenomena filem cetak rompak ini daripada terus berleluasa," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Mengulas lanjut, David berkata, lebih sedekad lalu, filem dalam bentuk fizikal seperti cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) menjadi tumpuan penjenayah cetak rompak ini, namun kini tumpuan mereka beralih kepada filem cetak rompak yang dimuat turun di laman-laman web.

Senario itu, katanya, lebih mencabar dan sukar untuk dikekang lebih-lebih lagi tanpa penguatkuasaan yang tegas.

"Kira-kira 99 peratus daripada penjenayah cetak rompak tidak diambil tindakan. Bila tiada tindakan undang-undang maka mereka tidak gentar untuk terus melakukan jenayah itu," ujarnya.

Berkongsi pengalaman beliau sendiri, David berkata, tindakan hanya diambil pasukan penguat kuasa selepas enam bulan laporan dibuat.

"Saya membawa semua bukti dan membuat laporan, malangnya tiada sebarang tindakan diambil sehingga saya terpaksa berjumpa dengan pegawai atasan dan tindakannya hanya sekadar merampas komputer terbabit.

"Individu yang bertanggungjawab itu sehingga sekarang tidak dituduh di mahkamah," tambahnya lagi.



** Astro AWANI kini dalam usaha membantu industri seni tanah air membanteras cetak rompak menerusi kempen #NoToLanun. Berikan pandangan anda menggunakan tanda pagar #NoToLanun & #StopPiracyLah jika anda ingin bersama-sama membantu menyelamatkan industri seni tempatan.